KLANG: Kerajaan melalui Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) meluluskan peruntukan RM500,000 bagi pembangunan Projek Rintis Program Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) Parlimen Kota Raja dalam usaha memperkukuh industri nanas negara serta meningkatkan keterjaminan makanan.
Program peluncuran tuaian nanas itu disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu di Jalan Kebun Nanas, Kota Raja, Klang, pada Jumaat.
Turut hadir Ahli Dewan Negara, Sheikh ’Umar Bagharib Ali, Setiausaha Bahagian Sekuriti Makanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jazman Azi Jamalludin serta Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M Salleh.
Menurut Mohamad, projek yang bermula sejak Ogos 2024 itu melibatkan pembangunan tanaman nanas MD2 secara berkelompok khususnya dalam kalangan golongan muda dan kumpulan B40.
Beliau berkata, sehingga kini LPNM telah membekalkan lebih 392,000 sulur benih nanas MD2 melibatkan 13 peserta dengan keluasan tanaman sebanyak 10.40 hektar.
“Keberhasilan tuaian pertama projek ini membuktikan kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan komuniti mampu memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi rakyat serta memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, berdasarkan anggaran projek tanaman nanas MD2 bagi keluasan 2.4 hektar, ia berpotensi menjana pendapatan kasar melebihi RM357,000 dengan keuntungan bersih sekitar RM173,000.
Tambahnya, projek itu juga mampu memberi pulangan pendapatan bersih bulanan hampir RM10,000 sekali gus membuktikan industri nanas premium berpotensi menjadi sumber pendapatan mampan kepada pengusaha tempatan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata Projek PINTAR diwujudkan sebagai pelengkap kepada konsep Malaysia MADANI bagi memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara menerusi pembangunan projek agromakanan berimpak tinggi dan berteknologi.
Katanya, kerajaan turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan pembiayaan termasuk bekalan benih daripada LPNM, Geran AgroNextGen, pembiayaan Agrobank serta insentif daripada jabatan dan agensi di bawah KPKM.
Pada masa sama, beliau memaklumkan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia ketika ini memberi kesan langsung kepada sistem makanan global termasuk peningkatan kos pengeluaran pertanian.
Menurutnya, konflik di Asia Barat serta gangguan di Selat Hormuz turut memberi kesan terhadap bekalan baja dan kos logistik antarabangsa yang akhirnya menjejaskan harga makanan dunia.
Sehubungan itu, kerajaan melalui KPKM akan terus mengambil langkah proaktif termasuk memperkemas stok simpanan beras negara serta memperkukuh pemantauan bekalan dan harga makanan bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan gangguan bekalan global.
Bagi tempoh 2021 hingga 2025, seramai 330 usahawan nanas berdaftar direkodkan di Selangor melibatkan keluasan tanaman sebanyak 481.45 hektar dengan Kuala Langat menjadi daerah utama penanaman nanas di negeri itu.