LRT bertembung: Bantuan khas RM1,000 kepada 213 mangsa

Harits Asyraf Hasnan
Mei 25, 2021 03:03 MYT
Antara penumpang yang mengalami kecederaan apabila dua tren LRT terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen KLCC malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd akan memberi bantuan khas berjumlah RM1,000 setiap seorang bagi semua 213 mangsa yang terlibat dalam nahas pertembungan LRT malam tadi.
Pengerusinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, bantuan itu akan diberikan kepada semua individu tanpa mengira tahap kecederaan yang dialami.
"Selain itu, kita juga akan memberi bantuan khas kepada mereka yang dimasukkan ke hospital termasuk menanggung kos perubatan, rawatan susulan dan sebagainya, sejak mula masuk hingga pulih semula.
"InsyaAllah, kita akan memberi sokongan perubatan kepada semua mereka, iaitu seramai 64 orang," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Bagaimanapun, jumlah bantuan khas kepada mereka yang dimasukkan ke hospital adalah bergantung kepada setiap kes.
Selain itu, Tajuddin turut memaklumkan bahawa pihak Prasarana juga akan memberi bantuan kepada mereka yang hilang pendapatan disebabkan oleh kemalangan itu.
"Kami sangat prihatin kepada nasib keluarga mereka, yang ramai anak dan sebagainya.
"Jadi kita akan bantu kelangsungan hidup sehingga dia boleh kerja seperti biasa," katanya.
Dalam kejadian pada pukul 8.45 malam tadi, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah akibat pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya.
Kejadian berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru, melibatkan satu tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.
#Tajuddin Abdul Rahman #LRT #kemalangan #prasarana #Nahas #mangsa