LRT bertembung: Kementerian Pengangkutan tubuh pasukan siasatan - Wee Ka Siong

Fareez Azman
Mei 24, 2021 15:29 MYT
Ka Siong memaklumkan pasukan petugas khas itu akan mengumpul hasil siasatan kemalangan LRT laluan Kelana Jaya berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat punca kemalangan membabitkan pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya berhampiran Stesen KLCC, malam ini.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata pasukan berkenaan akan menyiasat kejadian itu secepat mungkin dan hasilnya dijangka dikeluarkan dalam tempoh dua minggu.
"Ini merupakan kejadian pertama kali selepas 23 tahun (LRT) Laluan Kelana jaya ini beroperasi. Kerajaan berasa sedih dengan kemalangan ini.
"Kementerian akan tubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kejadian ini dan esok Ketua Pengarah Agensi Pengakutan Awam Darat, Azlan Shah Al Bakri, akan menghantar laporan awal kemalangan ini kepada saya.
"Dalam tempoh dua minggu ini, pasukan petugas khas akan mengumpulkan hasil siasatan kepada saya dan dalam tempoh dua minggu kita akan kenal pasti sama ada ia disebabkan kesilapan sistem signal atau komunikasi, ataupun kesilapan manusia.
"Kita akan pastikan apa punca yang menyebabkan kemalangan ini berlaku," katanya pada sidang media di Avenue K malam ini.
Skuad 'task force' akan ditubuhkan siasat insiden pertembungan LRT - Wee Ka Siong
BACA: 47 parah, 166 cedera ringan LRT bertembung berhampiran Stesen KLCC
Beliau juga memaklumkan, Prasarana sedang menguruskan perkhidmatan alternatif kepada penumpang di stesen lain yang masih terkandas.
Ka Siong juga menjelaskan, Prasarana akan memaklumkan dan mengemas kini pengguna LRT tentang gangguan perkhidmatan mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, seramai 47 penumpang parah manakala 166 cedera ringan apabila dua tren bertembung dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung KLCC.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata semua mereka sudah dikeluarkan dan dihantar ke hospital.
Penumpang cedera, LRT Kelana Jaya terbabit dalam kemalangan
#Transit Aliran Ringan #LRT #KLCC #Kampung Baru #cedera #Wee Ka Siong #pasukan petugas khas #LRT bertembung #cedera parah