LRT tergendala, wanita jadi mangsa samun selepas guna laluan alternatif

Nailah Huda
November 9, 2022 13:47 MYT
Lokasi kejadian di luar Stesen LRT Sri Rampai, Wangsa Maju. - Gambar Google Map
KUALA LUMPUR: Gangguan Transit Aliran Ringan (LRT) bukan sahaja menjejaskan perjalanan penduduk di Lembah Klang, malah juga mendedahkan penumpang kepada risiko keselamatan.
Seorang wanita menjadi mangsa samun di luar Stesen LRT Sri Rampai di Wangsa Maju selepas terpaksa menggunakan laluan alternatif susulan gangguan perkhidmatan itu pada pagi Rabu.
Nur Sophia Jesmine Hasmin, 25, sepatutnya membuat perjalanan ke pejabat melalui laluan Kelana Jaya dari Stesen LRT Sri Rampai ke Stesen LRT USJ 7.
Namun, selepas diberitahu oleh seorang pegawai polis bantuan di stesen berkenaan bahawa perjalanannya terjejas, Nur Sophia meminta bantuan bapanya untuk menjemput dan menghantarnya ke pejabat menaiki kereta.
LRT Tergendala | Wanita dirompak di luar stesen LRT Sri Rampai
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, ketika menunggu bapanya di persimpangan antara Stesen LRT Sri Rampai dan sebuah kondominium, Nur Sophia didekati oleh dua lelaki yang menunggang motosikal.
Nur Sophia mendakwa, salah seorang lelaki tersebut menyamun beg yang mengandungi sebuah komputer riba dan telefon pintar.
“Pada awalnya, saya enggan melepaskan beg saya. Namun, selepas lelaki tersebut bertindak mengoyakkan beg menggunakan pisau, saya melepaskan beg tersebut sebelum mereka melarikan diri,” kata Nur Sophia ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, hari ini.

and bcs of this lrt situation thingy, i got robbed in front of the Desa Pandan condo section by the lrt sri rampai while waiting for my dad to pick me up and send me to the office. those robbers slashed through my back pack and snatched away my companys laptop. https://t.co/OiMFHGeUmJ

— sophia (@soph_jes) November 9, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Susulan insiden itu, Nur Sophia membuat laporan di Balai Polis Setiawangsa dan dimaklumkan bahawa pihak polis akan menyiasat insiden berkenaan serta menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Pada Rabu, Prasarana Berhad memaklumkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya di 16 stesen dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung selama tujuh hari berikutan masalah teknikal.
#LRT #prasarana #Stesen LRT Sri Rampai #kes samun