KOTA BHARU: Polis Kontinjen Kelantan sentiasa komited dalam usaha mempertingkatkan kesiapsiagaanya termasuk Unit Light Strike Force (LSF) Kontinjen Kelantan bagi menghadapi sebarang situasi ancaman yang melibatkan ketenteraman awam.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun, LSF yang diwujudkan di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah seluruh Kelantan berperanan menghadapi perusuh tunjuk perasaan, membantu penguatkuasa tempatan dalam mengawal perobohan binaan atas tanah kerajaan.

"Ianya juga digerakkan untuk persiapan pilihan raya selain digunakan untuk pemantauan dan rondaan di kawasan ceramah parti politik.

"Rondaan secara berkala dalam pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mencegah daripada berlaku pergaduhan, menurun bendera.

"Tugasnya sebagai pengempur ringgan menghadapi perusuh," katanya kepada Astro AWANI.

Muhammad Zaki berkata LSF juga boleh membantu Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam mengawal semasa penurunan bendera parti yang melanggar peraturan pilihan raya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutup kursus asas LSF siri 1/2022 peringkat Kelantan baru-baru ini.

Kursus asas itu dijalankan bagi memastikan setiap pegawai dan anggota polis di balai memahami peranan dan tanggungjawabnya sebagai barisan pertahanan pertama ketika menghadapi situasi ancaman ketenteraman awam seperti perhimpunan haram atau rusuhan.


Selain daripada itu, ia juga dapat meningkatkan percambahan idea untuk berfikir secara proaktif serta sebagai latihan membuat penilaian.

Turut hadir Datuk Mohd Nor Yazhid Idris, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Idrus Hanapiah, Ketua Jabatan Pengurusan Kelantan, ACP Sheik Azhar Sheik Omar serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, ACP Mit Emong.

Sebanyak 12 unit LSF melibatkan semua Daerah Kontinjen Kelantan, yang merangkumi kekuatan satu Pegawai Kanan dan lapan anggota (1 Seksyen) bagi setiap unit dengan keseluruhannya seramai  106 orang.

Kursus asas itu dikendalikan oleh tiga orang jurulatih yang terlatih daripada Sekolah Latihan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Sungai Senam Ipoh Perak. 

"LSF ada di setiap ibu pejabat Polis, mengikut kekuatan daerah.

"Peralatan baharu yang dibekalkan kepada  LSF terkini adalah kenderaan CS kargo yang lebih baik dan sesuai untuk tugasan berbanding sebelum ini pengunaan Land Rover.

"Kemahiran penggunaan gas pemedih mata turut dilatih kepada anggota LSF yang mengikuti kursus asas berkenaan selain teknik pengunaan cota atau rotan dalam melakukan pukulan mengikut yang dibenarkan undang undang," tambahnya lagi.