Ringkasan AI
- Lubnan menghargai pengorbanan anggota pengaman Malaysia dalam memelihara keamanan di selatan Lubnan, menurut Menteri Luar Youssef Raggi.
- Perbincangan antara Raggi dan Duta Besar Malaysia turut menyentuh situasi selepas misi UNIFIL serta usaha memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.
- Anggota Batalion Malaysia dijangka mula pulang ke tanah air secara berperingkat bermula 17 Januari 2027 selepas tamat mandat UNIFIL hujung tahun ini.
KUALA LUMPUR: Lubnan menzahirkan penghargaan atas pengorbanan anggota pengaman Malaysia dalam memelihara keamanan di selatan Lubnan.
Menteri Luar dan Imigran Lubnan Youssef Raggi menyatakan rasa terima kasihnya semasa pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke Lubnan yang baharu Anwar Udzir.
Dalam hantaran di platform X pada Selasa, Raggi berkata mereka berbincang mengenai situasi di selatan Lubnan serta tempoh selepas berakhirnya misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
"Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau atas pengorbanan yang dilakukan oleh tentera Malaysia dalam usaha mereka memelihara keamanan di selatan," katanya.
Perbincangan itu turut menyentuh hubungan ekonomi dua hala dan cara-cara untuk memperkukuhnya terutama menerusi perdagangan dan pelaburan.
Malaysia menyumbangkan anggota pengaman kepada UNIFIL, yang memantau situasi di selatan Lubnan serta membantu mengekalkan kestabilan di rantau tersebut.
Pada 3 Okt, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang berkhidmat di Lubnan dijangka mula pulang ke tanah air pada Januari 2027, susulan berakhirnya mandat UNIFIL penghujung tahun ini.
Pengunduran itu akan dilaksanakan secara berperingkat. Tentera Malaysia pulang menerusi beberapa penerbangan bermula 17 Januari, diikuti penghantaran aset ketenteraan melalui jalan laut.
-- BERNAMA