KUALA LUMPUR: Jenayah scammer atau penipuan kini dikategorikan pada tahap 'scamdemic', selepas menyaksikan hampir 40 peratus responden mengakui pernah berdepan dengan cubaan penipuan daripada lubuk scam, yang dipercayai beroperasi dari Myanmar, Laos serta Kemboja menggunakan teknologi siber.

Dapatan itu didedahkan hari ini dalam kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Sosial dan Polisi Tun Tan Cheng Lock, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Huayan Policy Institute (HPI).

Selain itu, peratusan sama turut menyaksikan responden mengakui mempunyai kenalan yang pernah menjadi mangsa penipuan, dengan kumpulan berumur 16 hingga 20 tahun dan 21 hingga 25 tahun, adalah paling tinggi iaitu masing-masing 42.12 dan 42.60 peratus.

Begitu pun, kaji selidik berkenaan mendapati majoriti rakyat Malaysia iaitu 61.78 peratus, amat menyedari tentang lubuk scam dan taktik yang digunakan oleh sindiket tersebut.

Dapatan kajian sama turut merekodkan sebanyak 88.12 peratus responden pernah mendengar atau membaca tentang lubuk scam, manakala seramai 91.73 peratus menyedari bahawa sindiket memperdaya mangsa ke lubuk scam.

.

Sementara itu, sebanyak 85.53 peratus responden mengetahui bahawa lubuk scam melakukan aktiviti-aktiviti haram, dan sebanyak 90.22 peratus mengetahui potensi risiko serta bahaya berkaitan dengan lubuk scam.

Dalam masa yang sama, lebih 92 peratus responden (21.50 peratus sangat bersetuju; 43.50 peratus bersetuju; 27.40 peratus agak bersetuju) mengakui bahawa mereka boleh mengenal pasti taktik dan kaedah yang digunakan oleh pengendali lubuk scam untuk memperdaya mangsa.

.

Hampir 100 peratus responden, iaitu 97 peratus bersetuju akan cuba mengelak daripada melawat lokasi, di mana lubuk scam diketahui wujud.

"Individu berusia antara 16-20 dan 21-25 juga menunjukkan peratusan tertinggi tidak pernah berdepan taktik penipuan," jelas kaji selidik berkenaan.

Kaji selidik menambah sebilangan besar responden bersetuju bahawa melibatkan diri dalam hubungan jarak jauh dan mengejar pekerjaan bergaji tinggi tanpa pengesahan yang betul, membawa risiko yang sangat tinggi untuk terjerumus dalam taktik penipuan.

.

"Majoriti responden turut bersetuju bahawa mendaftar dan mendedahkan maklumat peribadi pada platform dalam talian mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk terjerumus ke dalam taktik penipuan," kata kaji selidik berkenaan lagi.

Kaji selidik bertajuk 'Lubuk scam: Tahap kesedaran rakyat Malaysia, pengetahuan tentang langkah-langkah mengelak daripada terjebak dan persepsi terhadap tindakan kerajaan', dijalankan secara dalam talian bermula 20 Oktober hingga 27 Oktober lalu.

.

Seramai 991 responden terdiri daripada mereka berumur 16 hingga lebih 61 tahun terlibat dalam kaji selidik berkenaan, di mana lebih 80 peratus responden adalah kumpulan berumur 16 hingga 40 tahun.

Ia turut disokong lima agensi media iaitu Sinar Harian; The Star; Sin Chew Daily; Astro AWANI; dan Malaysia Nanban.

.

Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Sosial dan Polisi Tun Tan Cheng Lock, UTAR , Dr Chin Yee Mun berkata, daripada keseluruhan kajian yang dijalankan, secara umumnya sebahagian besar rakyat Malaysia mengetahui tentang scam, apa itu lubuk scam dan sedar tentang tipu helah scammer.

Menurut beliau, kajian yang menumpukan lubuk scam itu turut menyaksikan tahap kesedaran bagi semua kaum adalah lebih kurang sama khususnya golongan muda.

"Tapi kalau kita lihat, walaupun ramai rakyat Malaysia tahu tentang perkara ini, tentang keburukannya, tapi masih lagi ada yang terperangkap dengan lubuk scam.

"Maksudnya scam ni dah menunjukkan satu pandemik dalam negara kita. Ia seperti pandemik, virus-virusnya selalu menyerang kita.

"Kerajaan perlu ambil serius dan harus jadikan isu scam ini sebagai musuh negara. Seperti kita jadikan dadah musuh negara, tapi setakat ini belum dengar lagi mahu jadikan scam sebagai musuh negara," kata beliau.