JOHOR BAHRU: Keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang membenarkan rayuan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak harta bernilai lebih RM6 juta Ahad lalu, bukanlah kesemuanya milik bekas Exco Johor Datuk Abd Latif Bandi, anak lelakinya Ahmad Fauzan Hatim Abd Latif dan menantunya Nur Shaliza Mohd Salleh, seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Sebaliknya, kesemua harta yang terlibat itu turut dimiliki responden-responden lain iaitu ejen hartanah Amir Shariffuddin Abd Rauf dan keluarga, serta tiga syarikat iaitu JLA Motorsport Sdn Bhd yang mana Amir Shariffuddin merupakan pengarah dan pemegang saham, syarikat Alaf Pentawaris Sdn Bhd dan Wash N Chill Sdn Bhd, yang mana pengarahnya adalah Ahmad Fauzan Hatim.

Peguam yang mewakili kesemua responden itu Abd Rahim Ali, ketika dihubungi berkata pihaknya merujuk kepada laporan berita keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Ahad lepas, yang membenarkan rayuan SPRM untuk melucuthakkan harta-harta dalam kes Abd Latif bersama responden lain.

"Kenderaan-kenderaan yang dilaporkan oleh media bukanlah kesemuanya milik Abd Latif semata-mata, tetapi ia telah digambarkan seolah-olah semua kenderaan tersebut adalah milik beliau dan telah memperoleh kekayaan yang tidak wajar, sepanjang menjawat jawatan sebagai Exco Negeri Johor.

"Kami ingin menegaskan jumlah pelucutan hak sebanyak RM6 juta adalah merujuk kepada keseluruhan harta-harta yang terlibat dan bukannya melibatkan Abd Latif semata-mata. Laporan media bertarikh 20 Mei 2019 boleh dirujuk di mana harta-harta yang dipohon untuk dilucut hak adalah RM1.58 juta.

"Keputusan Mahkamah Tinggi Ahad lalu adalah merujuk kepada rayuan SPRM, dan kami percaya anak guam kami mempunyai prospek rayuan yang cerah di Mahkamah Rayuan kelak, dan keputusan Mahkamah Tinggi perlu dihormati dan anak guam kami juga akan melaksanakan segala hak undang-undangnya termasuklah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan yang telah dilakukan semalam," kata Abd Rahim.

Ahad lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan SPRM, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 27 Mei 2019, yang menolak permohonan pihak pendakwaan dan memerintahkan semua harta disita, dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia.

Abu Bakar ketika membacakan penghakimannya berkata keputusan itu dibuat selepas mahkamah meneliti semua rekod rayuan serta memperhalusi hujahan lisan serta bertulis semua pihak.

Antara harta terlibat membabitkan 19 kereta mewah termasuk Mercedes Benz G63 AMG, Bentley Continental GT Coupe, Land Rover Proversport, Porsche Cayenne, Nissan Skyline, Toyota Vellfire dan Honda HRV selain tiga motosikal berkuasa tinggi jenama BMW, Harley Davidson serta Honda.

Selain itu, ia turut membabitkan 16 jam tangan mewah, 15 beg tangan mewah, 15 item barangan kemas, selain mata wang Singapura, Hong Kong, Kuwait, Korea dan Jepun.

-- BERNAMA