Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di sini.
MALAYSIA

Luluh hati Presiden UMNO, Ahmad Zahid terima khabar pemergian Bung Moktar

Astro Awani 04/12/2025 | 23:40 MYT
Ahmad Zahid mengakui, beliau kehilangan kata-kata untuk menggambarkan kehilangan sahabatnya, Bung Moktar. - Gambar Instagram @ahmadzahidhamidi
KUALA LUMPUR: "Ya Allah… luluh hati saya saat menerima khabar pemergian sahabat saya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang telah kembali ke rahmatullah pada awal pagi Jumaat yang penuh kemuliaan ini."

Itu mukadimah nota belasungkawa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ditulis khusus buat sahabat politik beliau, Bung Moktar yang meninggal dunia sekitar jam 1.46 pagi tadi.

Tulisan itu jelas sekali memperlihatkan Ahmad Zahid tidak mampu menyembunyikan rasa sedih dan duka yang mendalam susulan kematian Ketua UMNO Sabah itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, Allahyarham Bung Moktar bukan sekadar sahabat sejati yang dekat di hati.

Bahkan, Allahyarham Bung Moktar, jelas Ahmad Zahid, seorang rakan seperjuangan yang sentiasa teguh berdiri di sisi dan seorang insan yang sentiasa setia menemani di setiap waktu senang dan susah.

Justeru, Ahmad Zahid mengakui, beliau kehilangan kata-kata untuk menggambarkan kehilangan ini.

"Sukar untuk saya mencari kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini. Yang tinggal hanyalah doa, mengiringi segala kenangan dan kebaikan yang telah beliau tinggalkan buat kami di dunia ini," tulis Pengerusi Barisan Nasional itu dalam hantaran di media sosial hari ini.



Dalam hantaran bertajuk Perginya Seorang Sahabat itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menitipkan doa buat sahabat beliau yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 66 tahun itu.

"Ya Allah, ampunkanlah dosanya, terimalah segala amal baktinya, angkatlah darjat kebaikannya dan kurniakanlah untuknimya nikmat syurgaMu yang abadi," tulis Ahmad Zahid lagi.

Bagi pihak kepimpinnan UMNO, BN dan seluruh rakyat khususnya di negeri Sabah, Ahmad Zahid berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, dilimpahi keampunan, dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Mu yang beriman serta beramal soleh.

Allahyarham Bung yang juga Pengerusi BN Sabah menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

Berita sedih pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu dikongsi anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar di Facebooknya.

"Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H)," kata Naim.











#Bung Moktar Radin #Bung Moktar meninggal dunia #Ahmad Zahid Hamidi #Zahid Hamidi luluh hati