“Luluh hati saya.”

Itu luahan jurugambar bebas, Syahrin Abdul Aziz, susulan kemalangan kereta yang dipandunya dengan seekor harimau di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), berhampiran Plaza Tol Kerteh pada Sabtu.

Menurutnya, beliau hanya mampu menjerit kalimah Allah sebelum merempuh harimau berkenaan yang mengakibatkan bahagian hadapan kenderaan pecah dan berasap.

Beliau bertambah hiba tatkala mendapati haiwan yang dilanggar itu seekor harimau betina yang sedang bunting.

“Bagi saya, saya ni pencinta kucing. Saya kat rumah pun ada kucing tiga ekor.

“Bila saya tengok memang hati saya luluh, walaupun saya nampak mata dia terbeliak... memang menggerunkan tetapi dalam hati saya, saya terfikir saya telah melanggar seekor kucing,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Syahrin menggambarkan tingkah laku harimau tersebut sewaktu ia melintas, sama seperti seekor kucing.

“Masa dia melintas tu, instinct (naluri) dia sama seperti kucing... sebab kucing kan bila dia nampak kita bawa kereta, dia takkan lari ke kanan, dia terus melintas.

“Begitulah instinct seekor harimau... sama seperti seekor kucing. Bila saya tengok harimau tu dah mati, saya sayu. Dan bila esoknya viral pula bahawa harimau itu bunting, lagi membuat hati saya luluh,” katanya lagi.

BACA: LPT2 ragut nyawa lagi, kali ini harimau belang dirempuh MPV

BACA: Harimau dirempuh: Pemandu MPV beri penjelasan

Syahrin juga berkata beliau kesal apabila ada setengah pihak yang menuduhnya sengaja melanggar haiwan lindungan terbabit.

Beliau yang di temui di rumah mertuanya berkata ketika kejadian itu, beliau bersama isteri, Masturawati Asari, 42 serta tiga anak Muhammad Adam Syafril 16, Nur Sarah Aina, 13 dan Nur Ain Sofi, 10 dalam perjalanan pulang ke Marang.

Syahrin berkata, dua orang pengguna jalan raya yang berhenti kemudianya membantunya dan laporan polis turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman.