NATIONAL
M K Land kongsi semangat kebersamaan, inspirasi sepanjang Ramadan
Pengerusi Eksekutif M K Land Holdings Berhad, Tan Sri Felina Mustapha (dua dari kanan) bergambar bersama-sama anak-anak daripada Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman Negeri Perak dan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat.
KUALA LUMPUR: Syarikat pembangunan hartanaha M K Land Holdings Berhad (M K Land) meneruskan komitmen tanggungjawab sosialnya dengan menyantuni lebih 250 anak-anak yatim dan tahfiz menerusi siri Jelajah Ramadan M K Land sepanjang bulan Ramadan ini di empat lokasi utama syarikat itu beroperasi.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha M K Land untuk menyemarakkan semangat kebersamaan dan memberi inspirasi kepada golongan yang memerlukan.
Siri jelajah ini disertai oleh barisan pengurusan kanan M K Land termasuk Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi; Timbalan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Nazri Tumin dan Pengurus Besar Kanan Projek Ipoh, Norida Abu Kassim.
Jelajah ini bermula di Damansara Perdana pada 13 Mac lalu diikuti Ipoh (21 Mac) seterusnya Bukit Merah (22 Mac) dan berakhir di Langkawi (24 Mac).
Di setiap lokasi, majlis berbuka puasa diadakan bersama anak-anak yatim dan tahfiz daripada rumah anak yatim dan pusat tahfiz terpilih, diikuti dengan solat sunat tarawih berjemaah dan moreh.
Di majlis yang sama, syarikat pembangunan hartanah itu turut menyerahkan sumbangan duit raya buat anak-anak ini sebagai tanda meraikan kemeriahan Syawal.

Menurut Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat M K Land, Shahreen Rahim, inisiatif ini bukan sekadar program menyantuni komuniti setempat, malah satu usaha untuk memberi inspirasi kepada anak-anak ini supaya mereka terus bermimpi besar dan percaya pada potensi diri mereka.
“Di M K Land, kami percaya bahawa setiap anak-anak ini mempunyai masa depan yang cerah jika diberi dorongan dan keyakinan diri yang cukup.
“Siri Jelajah Ramadan M K Land ini bukan sekadar untuk menyantuni mereka, tetapi juga untuk membuka mata mereka terhadap luasnya dunia di luar sana - dipenuhi dengan pelbagai potensi untuk diterokai serta peluang tanpa batasan yang boleh dimanfaatkan bagi mencapai impian mereka di masa hadapan.
“Kami mahu mereka percaya bahawa setiap daripada mereka berhak untuk berjaya, sama seperti orang lain,” katanya.
Tambahnya lagi, komitmen M K Land dalam aspek sosial selari dengan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat, di mana M K Land terus berusaha membina komuniti yang lebih inklusif dan mampan.
“Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, M K Land bukan sahaja membangunkan projek hartanah, tetapi juga berusaha mencipta nilai dalam kehidupan komuniti setempat di mana kami beroperasi.
“Melalui inisiatif seperti ini, kami berharap dapat membentuk masyarakat yang lebih prihatin, di samping menyemai nilai-nilai kasih sayang dan saling membantu dalam diri generasi akan datang,” tambah beliau.
Siri Jelajah Ramadan M K Land ini juga mencerminkan nilai-nilai syarikat dalam mengutamakan kesejahteraan sosial, serta memastikan tiada golongan yang terpinggir.
Dengan menyantuni anak-anak yatim dan tahfiz, M K Land berharap dapat memberikan mereka pengalaman yang bermakna dan membakar semangat mereka untuk terus maju dalam kehidupan.