Malaysia bakal menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mewartakan penentuan wilayah laut sensitif (PSSA) mulai Januari tahun hadapan.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kawasan perairan Pulau Kukup sehingga ke Tanjung Piai, yang merangkumi anggaran kawasan seluas 550 kilometer itu, dikenal pasti oleh Pertubuhan Marin Antarabangsa (IMO) sebagai kawasan yang boleh diwartakan sebagai PSSA.

Beliau berkata dengan pewartaan ini, tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan dengan lebih giat lagi terhadap kapal-kapal yang melalui kawasan perairan serta berlabuh berdekatan.

"Masalah kita ialah kapal-kapal itu berlabuh di perairan antarabangsa tapi sampah, masuk ke perairan kita, jadi kita berhadapan isu penguatkuasaan.

"Jadi atas dasar itulah kita ambil tindakan seperti mewartakan kawasan sebagai PSSA dan berharap setelah diwartakan, tindakan penguatkuasaan boleh dipertingkat lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2015 peringkat negeri di Zoo Johor, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata konsultan kini dalam proses mengumpulkan maklumat bagi melengkapkan kajian berhubung PSSA ini sebelum dibentangkan kepada pihak sekretariat IMO di Singapura tidak lama lagi.

"Antaranya mengkaji sejauh mana pencemaran minyak dan lain-lain termasuk sisa makanan serta aktiviti ekonomi yang dilakukan di sekitar kawasan perairan tersebut," kata beliau.

Dengan mewartakan kawasan perairan tersebut, ia bakal menjadi garis panduan bagi peraturan dan penguatkuasaan yang baharu terutama bagi kapal-kapal yang berlabuh di sekitar kawasan itu.

Dianggarkan kira-kira 10,000 kapal melalui kawasan perairan tersebut dalam tempoh setahun.

Buat masa ini, terdapat 11 kawasan PSSA di seluruh dunia termasuk Great Barrier Reef PSSA (Australia), Archipelago of Sabana-Camaguey (Cuba), kawasan laut sekitar Malpelo Island PSSA (Colombia), kawasan laut sekitar Florida Keys PSSA (Amerika Syarikat), Wadden Sea PSSA (Belanda, Denmark dan Jerman), Paracas National Reserve PSSA (Peru).