PUTRAJAYA: Peruntukan interim di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan sebanyak RM300 juta akan salurkan secepat mungkin kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ketika ini pihaknya sedang memuktamadkan formula bagi mengira jumlah peruntukan yang perlu dibayar kepada Sabah dan Sarawak dalam tempoh setahun.

"Setelah perbincangan, dipersetujui bahawa peruntukan interim sebanyak RM300 juta untuk Sabah dan RM300 juta untuk Sarawak akan dilaksanakan secepat mungkin. Secara pentadbirannya untuk waktu ini ia memerlukan keputusan itu digazetkan.

"Kita juga pada masa yang sama membentuk jawatankuasa untuk memastikan formula (pengiraan peruntukan dibayar oleh Kerajaan Persekutuan) kepada kerajaan Sabah dan Sarawak dimuktamadkan dalam tempoh setahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Putrajaya pada Selasa.

Fadillah juga mengumumkan sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi membincangkan cadangan memberikan autonomi Sabah dan Sarawak bagi urusan pentadbiran kesihatan dan pendidikan.

Fadillah berkata jawatankuasa itu akan memberi tumpuan kepada menimbangkan hal-hal berkaitan perundangan dan kewangan sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi.

"Juga dibentangkan cadangan autonomi Sabah dan Sarawak berkaitan dengan pentadbiran kesihatan dan pendidikan. Kita bersetuju satu jawatankuasa khas akan dibentuk antara wakil kerajaan negeri, wakil Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

"Ia akan diperincikan oleh (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali, berhubung persetujuan dari sudut perundangan, pentadbiran dan kewangan.

"Kemudian ia akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Teknikal sebelum dibawa ke Majlis Tindakan yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, sebelum dibawa ke Jemaah Menteri," katanya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan persetujuan untuk membincangkan permintaan kerajaan negeri Sarawak untuk mengambil alih pelabuhan Bintulu.

Jelasnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan bertemu untuk memperhalusi perkara berkenaan.

Selain itu, menyentuh mengenai penyertaan wakil Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Fadillah berkata Rang Undang-undang (RUU) pindaan berkaitan akan diedarkan kepada Peguam Besar Sabah dan Sarawak untuk memberikan persetujuan akhir, sebelum dibentangkan di Parlimen.

Seterusnya, Fadillah turut memaklumkan 55 tanah Persekutuan di negeri Sarawak dan lima tanah yang sama di Sabah akan dikembalikan kepada kerajaan negeri masing-masing. Lanjutan itu, kerajaan negeri akan membayar pampasan kepada Kerajaan Persekutuan.