KUALA LUMPUR:Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai niat untuk melengahkan apa juga keputusan yang telah dicapai melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang ditubuhkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak, Datuk Hanifah Hajar Tun Abdul Taib berkata, Kerajaan tetap komited untuk melaksanakan keputusan yang telah dicapai dalam Jawatankuasa Khas Kabinet itu, walaupun ia telah dimansuhkan.

“Suka untuk saya tegaskan di sini bahawa Kerajaan pada hari ini hanya meneruskan dasar-dasar yang diputuskan oleh Kerajaan sebelum ini dan sama sekali tidak berniat untuk melengah-lengahkan, atau dengan izin, membuat apa-apa “delay tactic” berhubung pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dicapai oleh Jawatankuasa Khas Kabinet terdahulu. 

“Selain itu, Jemaah Menteri pada waktu itu juga turut bersetuju antara lain dengan penubuhan sebuah agensi baharu iaitu Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri, bertanggungjawab khusus untuk mengurus selia Majlis Khas tersebut,” katanya lagi.

Selain itu, Hanifah Hajar berkata, bahagian itu turut berperanan menyelaras apa-apa perkara yang berbangkit daripada tuntutan Kerajaan negeri Sabah dan negeri Sarawak berhubung Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman yang ingin mengetahui sekiranya laporan akhir jawatankuasa khas tersebut akan didedahkan kepada umum.

Mohd Azis turut ingin mengetahui sekiranya jawatankuasa khas itu kurang berkesan sehingga terpaksa dimansuhkan selepas pertukaran kerajaan pada Mac tahun ini.

Menjawab soalan itu, Hanifah Hajar berkata, Kerajaan masa kini juga ingin melakukan yang terbaik dalam memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak.