MALAYSIA

MA63: Tuntutan 40 peratus hasil Sabah dijangka dimuktamad September - Fadillah

Bernama 14/07/2025 | 11:00 MYT
Fadillah berkata cadangan penyelesaian mengenai tuntutan itu, telah dikemukakan wakil kerajaan Sabah dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63). - Gambar fail
KOTA KINABALU: Keputusan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, dijangka dimuktamadkan sebelum sambutan Hari Malaysia, 16 Sept ini.


Ringkasan AI
  • Keputusan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah dijangka dimuktamadkan sebelum Hari Malaysia, dengan cadangan penyelesaian telah dikemukakan oleh wakil kerajaan negeri dalam mesyuarat khas jawatankuasa teknikal MTPMA63.
  • Timbalan Perdana Menteri menyatakan penyelesaian mungkin bersifat interim dan perlu mengambil kira kes mahkamah yang sedang berjalan, namun kerajaan berusaha mencari jalan penyelesaian di luar bidang kuasa mahkamah.
  • Mesyuarat khas turut dihadiri pemimpin Sabah dan membincangkan cadangan yang akan dibentangkan kepada Perdana Menteri sebelum mesyuarat MTPMA63 seterusnya pada 12 September di Kuala Lumpur.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cadangan penyelesaian mengenai tuntutan itu, telah dikemukakan wakil kerajaan Sabah dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Fadillah yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata setiap cadangan penyelesaian dikemukakan, akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum mesyuarat MTPMA63 berikutnya yang dijadual pada 12 Sept ini di Kuala Lumpur.

"Di situ nanti kita akan putuskan apa penyelesaiannya sama ada interim atau bagaimana, kerana kita juga mengambil kira ada kes (mahkamah) sedang berjalan sekarang ini (berhubung tuntutan 40 peratus) yang dibawa oleh Majlis Peguam Sabah.

"Dari segi perundangan, ada juga perkara yang mengekang untuk kita membuat penyelesaian tanpa keputusan daripada mahkamah. Tetapi apa yang kita nak cari ialah penyelesaian di luar bidang kuasa mahkamah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa itu di Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Sementara itu, Jeffrey berkata mesyuarat khas itu berlangsung dengan baik dan kerajaan Sabah telah membentangkan cadangan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang akan diteliti oleh MTPMA63.

-- BERNAMA


#MA63 #Sabah #Fadillah Yusof #tuntutan Sabah