DI KALANGAN warga peniaga, tamatnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak bermakna peluang mencari rezeki tertutup. Kebelakangan ini, pengusaha baju T tidak menang tangan memenuhi permintaan baharu yang timbul apabila parti pembangkang memilih warna hitam sebagai lambang protes.

Tidak puas dengan perjalanan pilihan raya yang mereka dakwa pincang, beberapa perhimpunan yang tidak sah mengikuti undang-undang telah diatur. Akibatnya, bukan sahaja lapangan dan juga ruang dataran dipenuhi lautan manusia berbaju hitam. Gerakan protes ini dibawa jelajah dari negeri ke negeri bak ombak hitam yang mengancam walaupun tidak menerima restu umum atau kebenaran undang-undang.

Rentetan pelbagai kisah himpunan 'Blackout', petisyen pilihan raya, isu penangkapan mahasiswa (digantung), Adam Adli, aktivis mahasiswa, Safwan Anang, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua serta beberapa orang lagi berhubung hasutan, pengundi hantu dan terkini penafian masuk ke Sabah kepada Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (halangan sudah ditarik balik) atas alasan memberi ancaman kepada keamanan negara menambah rencah politik negara masih belum dilandasannya.

Jika dikira,apa yang berlaku pasca PRU13 dengan tempoh 30 hari selepas hari ibu segala pilihan raya menggambarkan tahap kematangan berpolitik masing-masing.

Malah tidak pernah berlaku sebenarnya begitu banyak peristiwa satu bulan pasca PRU sebelum ini seperti yang terjadi sekarang.

Saya tidak layak menilai tetapi berbalik kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu semua pihak balik kepada tanggungjawab membangun negara secepat mungkin.

Kisah kematangan ini saya selit dengan cerita persepsi warna yang menjadi 'ketakutan' masyarakat masa kini.

Saya pasti cerita dibelakang warna pilihan ini akan menerima perhatian dalam sedikit masa lagi atas motif politik - sekali lagi, mungkin itu sebab Perdana Menteri mahu semua berhenti membuang masa dengan berpolitik.

Saya rasa kali ini politik bukan membuang masa tetapi sudah mula dimanipulasi dengan warna. Sebelum ini warna kuning menjadi warna trauma dan pilihan pihak tertentu kerana kempen Bersih. Saya kira ini merupakan tindakan yang kurang sopan kerana umum peka kaitan warna kuning sebagai simbol institusi raja.

Di negeri Cik Siti Wan Kembang pula, rakyatnya yang terkenal dengan jiwa wira mereka, warna merah menjadi pilihan kumpulan yang menuntut royalti minyak. Saya harap warna merah itu biarlah pada baju T yang disarung ke badan, bukan darah yang mengalir apabila emosi tidak terkawal. Umum ketahui isu royalti minyak amat sensitif di kalangan warga Kelantan dan diharap jalan perbincangan dipilih untuk penyelesaian, bukan konfrotasi atau protes jalanan.

Dalam pada itu pengaruh kuasa hijau (Himpunan Hijau/Lynas) dan jingga (Himpunan Oren/Buku Jingga PR/Anti Felda) sudah bertapak kukuh di dalam minda rakyat yang diberi persepsi baru oleh Pakatan Rakyat

Namun Barisan Nasional (BN) tidak ketinggalan dalam pilihan warna. Warna biru pekat melambangkan kemenangan mereka pada PRU lepas dengan 133 kerusi dan memberi petanda sebenarnya biru sudah lama bertapak di hati rakyat berbanding permainan warna yang dicipta PR akhir-akhir ini.

Walau secara peribadi saya berpendapat PKR cuba membawa dimensi biru 'turquoise' dalam bendera mereka, warna biru masih tetap sinonim dengan BN.

Kisah warna sebenarnya satu pecahan cerita dari beratus-ratus lagi isu yang tidak akan habis walau 10 bulan lagi mahupun menjelang PRU ke-14 sekalipun.

Melalui dunia blog pembangkang, kita dijemput menyertai siri himpunan besar-besaran di mana-mana padang kosong. Walaupun lokasi masih belum tentu diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan, saya pasti pengedar baju T sudah berkira warna apa yang akan jadi pilihan - adakah ia merah jambu, kelabu atau kekal dengan tema 'Blackout' hitam mereka?

Begitu kuat kuasa warna dalam kehidupan masyarakat pasca PRU ke-13.

Warna dan politik

Dalam pada itu, Ahli Parlimen (MP) seharusnya mula bersedia untuk sesi Dewan Rakyat yang akan bermula pada 24 Jun sehingga 18 Julai dan Dewan Negara pada 25 Jun sehingga 1 Ogos.

Jadi, MP boleh terus 'bergaduh' di 'gelanggang' yang disediakan demi kemakmuran negara dan masyarakat sendiri - Bukankah mereka dipilih untuk mewakili rakyat demi kemajuan setempat, negeri dan negara?

Cuma pada persidangan kali ini, mereka mungkin boleh memilih warna kemeja atau tali leher untuk disesuaikan dengan kot. Saya cadangkan warna biru pekat untuk kerajaan dan pembangkang sesuai dengan penampilan jingga atau hitam.

Diam tidak diam, saya sendiri menghadapi dilema persoalan pilihan warna. Sudah hampir satu jam saya tercegat di hadapan tukang jahit baju Melayu di Wisma Yakin, Jalan Masjid India.

Berfikir warna baju Melayu yang hendak ditempah untuk Hari Raya - apa yang terlintas, tidak mahu dilabel mewakili mana-mana parti dan biar nampak neutral.

Sayangnya apa yang bermain di fikiran hanyalah warna-warna kontroversi yang kemungkinan mampu menimbulkan spekulasi pagi raya nanti!