MALAYSIA

Madrasah tidak berdaftar di Kelantan disyaki jadi saluran pengubahan wang haram, ajaran sesat

Bernama 21/10/2025 | 06:40 MYT
Mohd Yusoff berkata hasil risikan pihaknya mendapati separuh daripada madrasah di negeri berkenaan tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). - Gambar fail
KOTA BHARU: Polis mengesahkan terdapat maklumat awal berkemungkinan madrasah-madrasah tidak berdaftar di Kelantan digunakan sebagai tempat pengubahan wang haram.


Ringkasan AI
  • Polis Kelantan mengesahkan terdapat maklumat awal berkemungkinan madrasah tidak berdaftar digunakan sebagai tempat pengubahan wang haram, dengan separuh daripada madrasah di negeri itu didapati tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
  • Pemantauan sedang dijalankan terhadap madrasah, pondok dan pusat tahfiz bagi mengelak penyalahgunaan dana dan penyebaran ajaran sesat, termasuk kes individu membayar jutaan ringgit kepada pihak yang mendakwa berstatus wali untuk memperoleh keberkatan.
  • Polis bekerjasama dengan MAIK dan pihak berkuasa agama negeri bagi mengenal pasti institusi tidak berdaftar serta menasihatkan orang ramai menyemak latar belakang sebelum menyalurkan derma, selain memberi amaran tindakan tegas akan diambil jika wujud bukti penyelewengan atau ajaran menyimpang.


Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata hasil risikan pihaknya mendapati separuh daripada madrasah di negeri berkenaan tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Beliau berkata polis sedang memantau beberapa madrasah, pondok dan pusat tahfiz yang tidak berdaftar dengan MAIK bagi mengelak berlakunya penyalahgunaan dana dan penyebaran ajaran sesat.

"Pemantauan ini dilaksanakan bagi memastikan tiada aktiviti mencurigakan termasuk penyalahgunaan derma atau 'saham akhirat' yang berpotensi menjadi kegiatan pengubahan wang haram.

"Kami bimbang ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama pusat pengajian agama bagi meraih derma jutaan ringgit dengan alasan untuk pembangunan atau kegiatan kebajikan, sedangkan ia mungkin disalah guna," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Mohd Yusoff berkata pihaknya menerima maklumat berhubung segelintir individu dari dalam dan luar Kelantan yang sanggup membayar RM2 juta dan melabur kepada individu tertentu yang mendakwa mempunyai 'keistimewaan' atau berstatus wali bagi tujuan memperoleh keberkatan dan kesejahteraan.

"Ada yang melabur sehingga berjuta-juta berkemungkinan terpengaruh dengan penggunaan kata-kata sehingga menjadi taksub.

"Situasi ini seperti 'Ayah Pin' yang baru dan kami mendapati ada kanak-kanak jadi taksub sehingga tidak mahu pulang ke rumah walaupun dijemput ibu bapa," katanya.

Beliau berkata polis bekerjasama rapat dengan MAIK serta pihak berkuasa agama negeri bagi mengenal pasti madrasah yang tidak berdaftar dan memantau sebarang unsur penyelewengan atau ajaran menyimpang.

"Saya ingin menasihatkan orang ramai agar menyemak latar belakang institusi agama sebelum menyalurkan derma atau sumbangan.

"Pastikan pusat pengajian berdaftar dengan MAIK dan guru-gurunya mempunyai tauliah yang sah. Kami tidak mahu masyarakat tertipu dengan individu yang menyalahgunakan kedudukan atau gelaran untuk kepentingan peribadi," katanya.

Beliau turut menegaskan tindakan tegas akan diambil sekiranya wujud bukti jelas mengenai pengumpulan dana secara haram, ajaran sesat atau aktiviti penipuan berasaskan agama di negeri ini.

-- BERNAMA


#madrasah tidak berdaftar #pengubahan wang haram #Kelantan #PDRM