[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Maestro Isaignani Ilaiyaraaja temui peminat Malaysia esok

Umavathi Ramayah 04/04/2025 | 07:15 MYT
Raaja Rhapsody bakal menampilkan sebuah orkestra megah yang menghimpunkan lebih 60 pemuzik profesional dari India dan Budapest, Hungary. - Foto Pink Creative Agency
SELEPAS tiga tahun, maestro muzik dunia, Isaignani Ilaiyaraaja kembali ke Malaysia untuk menghiburkan peminat tempatan menerusi konsert mega Raaja Rhapsody yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil esok.
Dikenali sebagai 'ensiklopedia muzik hidup', legenda berusia 82 tahun itu bakal memukau hati pendengar dengan lagu-lagu yang melangkaui generasi.
Pastinya, peminat hiburan tempatan yang sudah lama menantikan konsert maestro tersohor itu bakal disajikan dengan satu pengalaman yang luar biasa.
Raaja Rhapsody bakal menampilkan sebuah orkestra megah yang menghimpunkan lebih 60 pemuzik profesional dari India dan Budapest, Hungary.
Malah buat pertama kalinya dalam sejarah, gabungan muzik epik itu akan dipimpin sendiri beliau di pentas Malaysia.
Lebih istimewa lagi, senarai lagu eksklusif yang dikurasi khas oleh pengarah muzik itu akan menghidupkan keindahan melodi, menjanjikan sebuah perjalanan musikal yang mengasyikkan dan penuh emosi.
Satu segmen istimewa turut akan dipersembahkan dalam konsert itu bagi meraikan keunikan skor latar (BGM) dalam karya-karya Ilaiyaraaja.
Dalam sidang media baru-baru ini, penganjur, Pink Creative Agency memberitahu, lebih enam skor latar paling ikonik akan dihidupkan semula secara orkestra penuh, menonjolkan kepentingan BGM dalam menyampaikan emosi dan memperkukuh penceritaan sesebuah filem.
 Maestro Isaignani Ilaiyaraaja temui peminat Malaysia esok.
Melalui gabungan visual yang mendalam dan alunan orkestra yang menggugah rasa, segmen itu menurut penganjur dijangka mencetus fenomena dalam Raaja Rhapsody.
Selain itu, pentas itu akan turut dikongsi penyanyi popular seperti Hariharan, SPB Charan, Vijay Prakash, Vibhavari Apte Joshi, Madhu Balakrishnan, Karthik, Shweta Mohan, Haricharan dan Priyanka.
Nama-nama itu cukup sinonim dengan lagu-lagu ikonik Ilaiyaraaja dan kehadiran mereka pastinya akan menggamit nostalgia.
Membawa legasi lima dekad dalam dunia seni, anak kelahiran Pannaipuram, Madurai itu diiktiraf sebagai komposer Asia pertama menghasilkan skor simfoni, selain mencetuskan aliran dalam industri filem India Selatan dengan kelebihan menyuntik pengaruh Barat dalam lagu.
 Maestro Isaignani Ilaiyaraaja temui peminat Malaysia esok.
Sehingga kini, beliau telah menggubah lebih 7,000 lagu dan menyediakan skor filem untuk lebih daripada 1,000 filem India dalam pelbagai bahasa.
Memetik laporan BBC, lagu hasil gubahan Ilaiyaraaja, Rakkamma Kayya Thattu dari filem Thalapathy, lakonan bintang popular Rajinikanth dinobatkan di tempat keempat sebagai lagu popular sepanjang zaman pada 2003.
#Isaignani Ilaiyaraaja #Raaja Rhapsody #Budapest #maestro muzik