KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) akan memastikan tiada aktiviti pengeksportan komoditi tersebut melalui dua kawalan.

Ia selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 23 Mei 2022 berkenaan langkah menghentikan eksport ayam berkuat kuasa 1 Jun 2022.

Kawalan pertama melibatkan kelulusan permit yang meliputi pengeksportan ayam hidup, karkas ayam bulat keratan daging ayam dan produk berasaskan ayam.

Antaranya ialah ayam hidup, ayam bulat (“chilled, fresh, frozen), keratan ayam dan ofalnya (“chilled, fresh, frozen), keratan ayam (kepak, pangkal peha, hati), daging ayam sahaja (tanpa tulang), lain-lain bahagian seperti kaki ayam, kulit ayam dan produk berasaskan ayam seperti sosej, nuget, ayam bersalut tepung, burger ayam dan lain-lain.

Semua kelulusan permit untuk membawa keluar komoditi tersebut mulai 1 Jun 2022 dibatalkan dan disekat.

Kedua, kawalan secara fizikal di semua pintu keluar dilaksanakan oleh pegawai penguatkuasa MAQIS dan sebarang aktiviti untuk megeksport komoditi berkenaan tidak dibenarkan.

Sekiranya terdapat pelanggaran tindakan akan diambil di bawah subseksyen 11(2) dan 11(3), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011 (Akta 728).

Jika sabit kesalahan, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 6 tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya - denda tidak melebihi RM150,000 akan dikenakan atau penjara tidak lebih 7 tahun atau kedua-duanya.