MAGERAN: Majlis Pemulihan Negara bukan untuk ganti kerajaan sedia ada - Tun Mahathir

Firdaus Azil
Jun 12, 2021 06:49 MYT
Tun Mahathir berkata, nama-nama calon Majlis akan dipersembahkan jika Agong dan Raja-raja Melayu perkenan terhadap penubuhannya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Majlis Pemulihan Negara (MAGERAN) yang beliau cadangkan, bukan untuk menggantikan kerajaan sedia ada.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Majlis itu mempunyai tugas-tugas khusus, iaitu mengurangkan kes baharu sehingga terbentuknya imuniti kelompok di negara ini, serta menyelesaikan isu berkaitan seperti ekonomi, pendidikan, serta politik.
Dalam catatan terbaharu di blognya, Dr Mahathir berkata, Majlis Pemulihan Negara tidak akan diletakkan di bawah Kerajaan, sebaliknya melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Majlis Pemulihan Negara tidak akan ganti Kerajaan. Majlis ditugas untuk mengurang kes baharu sehingga tercapai herd imunity. Selain masalah kemerosotan ekonomi dan kewangan akan dipulih oleh Majlis.
“Untuk politik, Parlimen akan bersidang dan tindakan Majlis akan dibentang kepada Parlimen. Percubaan untuk hapuskan Majlis Pemulihan Negara tidak akan diusahakan oleh Parlimen,” katanya.
Tambah Tun Mahathir lagi, isu persekolahan juga turut menjadi tanggungjawab Majlis.

MAGERAN MAJLIS PEMULIHAN NEGARA 1. Pada 1969, apabila berlaku rusuhan di Kuala Lumpur, Kerajaan Perikatan mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong untuk isytihar darurat.https://t.co/pGntKGAJHx

— Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial) June 12, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dr Mahathir berkata lanjut, yang menjadi punca permasalahan politik ialah percubaan merampas kuasa.
Malangnya jika Kerajaan ditukar, tambah beliau lagi, Kerajaan baharu juga akan menjadi lemah kerana majoriti yang tipis. Justeru tindakan politik hanya akan meneruskan masalah.
Selain dari empat perkara yang digariskan, Dr Mahathir berkata, perkara lain tidak akan disentuh oleh Majlis, dan Kerajaan boleh menangani urusan-urusan biasa asalkan tidak menyentuh empat perkara tadi.
Tambahnya lagi, tempoh masa untuk Majlis hanyalah sehingga negara mencapai imuniti kelompok, atau sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.
“Ahli-ahli Majlis akan terdiri dari pakar-pakar perubatan termasuk ahli psikiatri, pakar-pakar ekonomi yang tidak partisan dan berpengalaman di dalam membantu Negara mengatasi krisis, pakar pelaburan yang berpengalaman..
“..penggerak sosial yang telah bukti keupayaan membantu rakyat ketika pandemik, tokoh-tokoh perundangan yang tidak partisan dan beberapa tokoh politik yang tidak bertindak mewakili parti.
“Keahlian tidak akan lebih dari 20 anggota. Tidak ada politik dalam Majlis Pemulihan Negara,” tambahnya lagi.
Dr Mahathir berkata, nama-nama mereka akan disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Baginda, dan Ahli-ahli Majlis akan berkhidmat secara sukarela, tanpa gaji kecuali diberi elaun yang perlu.
“Jika Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja menerima cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negara ini, nama-nama mereka akan dipersembahkan untuk perkenan,” katanya lagi.
#Tun Dr Mahathir Mohamad #Majlis Pemulihan Negara #Yang di-Pertuan Agong #Perdana Menteri #Parlimen #ekonomi #pelaburan #pandemik #imuniti kelompok #pilihan raya #pendidikan #pilihan raya umum #politik #MAGERAN