KUALA LUMPUR: Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 diyakini mampu mencapai sasaran jualan langsung antara RM58 juta dan RM60 juta, selain RM8 bilion menerusi padanan perniagaan.
Ketua Sekretariat MAHA 2026, Datuk Mohd Haniff Hassan berkata keyakinan itu disokong sambutan menggalakkan apabila kira-kira 140,000 pengunjung direkodkan setakat semalam, dengan nilai jualan mencecah RM690,000.
Beliau yang juga Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata jumlah pengunjung dijangka terus meningkat dengan kira-kira 430 program setiap hari sepanjang penganjuran.
"Kita agak optimistik, insya-Allah akan dapat mencapai KPI kita iaitu lebih kurang RM58 hingga RM60 juta jualan langsung, kemudian RM8 bilion melalui padanan 'business matching' dan juga lebih kurang 800,000 penglibatan belia.
"Kita sangat memfokuskan golongan belia untuk menceburi bidang pertanian," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalannya, Datuk Chan Foong Hin.
Mohd Haniff berkata sasaran penglibatan belia dipacu segmen MAHA yang memberi penekanan kepada teknologi moden dan pertanian pintar bagi menarik golongan muda yang dekat dengan teknologi seperti Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, tema "Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan" pula selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk aspek penghasilan produk baharu, pemasaran, kepelbagaian hasil serta usaha menembusi pasaran antarabangsa.
Mengenai tarikan MAHA 2026, beliau berkata pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai program berkaitan pertanian termasuk 'Rhythm of the Farmers', persembahan informatif di Laman Padi dan Laman Nanas serta Kids Fun World.
Sementara itu, Mohd Haniff menasihatkan pengunjung supaya membawa dan memakai pelitup muka ketika berada di MAHA 2026, selain merancang kunjungan dengan mengambil kira keadaan cuaca panas, termasuk memilih waktu malam yang lebih sejuk.
Katanya, pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik, trem dan beberapa stesen penyejukan bagi membantu pengunjung menghadapi keadaan panas pada waktu siang.
MAHA 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini, mengetengahkan usaha pemodenan sektor pertanian menerusi teknologi serta inovasi.