Skip to main content

Malaysia

MAHA 2026: Pengunjung digalak pakai pelitup muka susulan jerebu

SERDANG, 28 Ogos -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Kebun Di Rumah Sendiri (KENDIRI) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohamad (foto) berkata nasihat itu penting sebagai langkah penjagaan kesihatan memandangkan MAHA 2026 dijangka terus menerima kehadiran orang ramai. -Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 digalakkan memakai pelitup muka susulan keadaan jerebu dan cuaca ketika ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata nasihat itu penting sebagai langkah penjagaan kesihatan memandangkan MAHA 2026 dijangka terus menerima kehadiran orang ramai.

Mengulas sambutan MAHA 2026, beliau berkata pameran itu merekodkan kira-kira 140,000 pengunjung pada hari pertama penganjurannya semalam.

Beliau berkata jumlah tersebut dijangka terus meningkat berikutan musim cuti yang sedang berlangsung.

“Saya mengharapkan para pengunjung kalau boleh digalakkan memakai mask (pelitup muka) kerana keadaan jerebu dan cuaca.

“Kalau dapat mereka datang membawa ‘mask’ supaya dapat kita meningkatkan penjagaan terhadap kesihatan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata kemudahan dan pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang penganjuran MAHA 2026 dijangka terus menarik orang ramai, termasuk program Ambang Merdeka yang akan berlangsung malam esok.

Beliau berkata program Ambang Merdeka itu akan bermula pada 11.30 malam, dengan pertunjukan dron dan bunga api sebagai antara acara utama.

“Jangan lupa sebelah malam ada hiburan-hiburan yang sederhana, ‘Rhythm of Farmers’. Ambang Merdeka bermula jam 11.30 malam dengan pertunjukan dron dan bunga api,” katanya.

MAHA 2026 menyasarkan potensi pelaburan sekurang-kurangnya RM8 bilion menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA), selain RM58 juta nilai jualan langsung.

Berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini, MAHA 2026 mengetengahkan usaha pemodenan sektor pertanian menerusi teknologi serta inovasi selaras tema "Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan".

Must Watch Video

Advertisement