Skip to main content

Malaysia

MAHA 2026 sasar RM8 bilion potensi pelaburan, RM58 juta jualan langsung

MAHA 2026, MCMU
Datuk Chan Foong Hin berkata, MAHA 2026 akan mengetengahkan penggunaan teknologi dan inovasi sebagai antara pemacu utama sektor pertanian negara - Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menyasarkan potensi pelaburan sekurang-kurangnya RM8 bilion menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA), selain RM58 juta nilai jualan langsung.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, MAHA 2026 akan mengetengahkan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), automasi serta mekanisasi sebagai pemacu utama sektor pertanian negara.

Jelas beliau, pendekatan itu selari dengan tema MAHA 2026 iaitu “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, yang bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan teknologi dalam meningkatkan produktiviti pertanian.

"Sebagai contoh, dron penting dalam bidang pertanian kerana boleh digunakan untuk penyemburan baja dan racun perosak. Ini bukan lagi sesuatu yang asing.

“Saya sendiri pernah melihat ramai petani muda yang memang arif dengan teknologi,” katanya dalam program Agenda AWANI yang disiarkan pada Selasa malam.

 

Image
MAHA 2026, MCMU
Pertunjukan laser dan dron antara tarikan yang bakal memeriahkan MAHA 2026, selari dengan penekanan pameran itu terhadap teknologi dan inovasi dalam sektor agromakanan negara.

Mengulas lanjut, Foong Hin memaklumkan MAHA 2026 turut menyasarkan kehadiran empat juta pengunjung serta penglibatan kira-kira 2,000 pempamer dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata kira-kira 800,000 golongan belia disasarkan menyertai MAHA 2026 bagi memastikan pameran itu memberi impak bukan sahaja kepada pemain industri ketika ini, malah kepada generasi pelapis sektor agromakanan negara.

Image
MAHA 2026, MCMU
MAHA 2026 menyasarkan RM8 bilion potensi pelaburan serta RM58 juta nilai jualan langsung, selain kehadiran empat juta pengunjung.

Ujarnya, satu lagi kelainan pada MAHA kali ini ialah sektor pertanian akan dibawa ke pentas nasional menerusi penyertaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia 2026.

Tambahnya, kontinjen itu akan membabitkan kira-kira 100 peserta KPKM serta sebuah kereta berhias bertemakan pertanian dan keterjaminan makanan yang turut mempamerkan jentera pertanian terkini.

“Selain itu, sambutan Ambang Merdeka turut akan diadakan di MAHA kali ini yang akan menjanjikan kelainan.

“Ini menunjukkan bahawa sektor agromakanan merupakan sektor strategik dan sebahagian daripada agenda pembangunan negara,” ujar beliau.

Image
MAHA 2026, MCMU
Sambutan Ambang Merdeka turut menjadi antara kelainan yang bakal dibawakan pada MAHA 2026, sekali gus mengetengahkan sektor agromakanan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara.

Mengenai MAHA Go Global (MGG), Foong Hin berkata program itu memasuki tahun kedua pelaksanaannya dengan konsep “Going Global”.

Ia akan menampilkan lapan segmen pameran interaktif membabitkan jabatan dan agensi di bawah KPKM, pemain industri tempatan yang berjaya mengeksport produk serta Pavilion Negara-negara Luar.

Katanya, sebanyak 14 negara dijangka mengambil bahagian dalam International Country Pavilion, termasuk Amerika Syarikat (AS), Jepun, Korea Selatan, China, Rusia, Brazil, Kenya, Uzbekistan, Denmark, Hungary, Belanda, Sepanyol, Thailand dan Palestin.

"Segmen Hosted Buyer pula akan mempertemukan hampir 2,000 pempamer produk agromakanan di MAHA yang mempunyai produk sedia eksport dengan 40 pembeli antarabangsa terdiri daripada pemborong, pengedar dan peruncit.

"Sesi padanan perniagaan itu akan berlangsung dari 1 hingga 3 September sempena MAHA Trade Days di Dewan A dan B di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS)," jelas beliau.

Selain itu, beliau memaklumkan segmen Go Global, Grow Local (GGGL) disediakan dengan tumpuan kepada komoditi pertanian bernilai dan berpotensi tinggi, membabitkan 34 usahawan tempatan terpilih dalam tujuh kluster.

Kluster itu merangkumi buah-buahan tropika, sayuran segar, bunga keratan, ikan hiasan, produk makanan laut, input pertanian serta produk haiwan dan makanan diproses.

Menurutnya, Pusat Sehenti Eksport turut disediakan bagi membantu usahawan mendapatkan input berkaitan standard, pensijilan dan syarat kemasukan ke pasaran antarabangsa terpilih.

Sementara itu, Foong Hin berkata Pavilion Taste of Malaysia (TOM) pula membabitkan 25 syarikat agromakanan tempatan yang berjaya menembusi lebih 27 negara.

“Ini menunjukkan bahawa produk agromakanan Malaysia sebenarnya mempunyai kemampuan untuk pergi jauh ke pasaran antarabangsa.

“Melalui MAHA Go Global ini, kita mahu MAHA menjadi bukan sekadar tempat untuk melihat produk, tetapi menjadi platform sebenar yang menghubungkan usahawan tempatan dengan pasaran dan pembeli antarabangsa,” katanya.

MAHA 2026 turut mendapat sokongan 11 rakan strategik rasmi daripada sektor perbankan dan pembiayaan, makanan dan agromakanan, peladang, nelayan, automotif, teknologi serta barangan pengguna.

Must Watch Video

Advertisement