MALAYSIA

Mahani Zubedy lancar buku '365 Quran-Two Minute Daily Reflections'

Bernama 06/12/2025 | 00:20 MYT
Tunku Zain Al-Abidin (kiri) dan Anas Zubedy, Pengarah Urusan Zubedy Sdn Bhd (kanan), merasmikan pelancaran buku 365 Quran Book – 2-Minute Daily Reflections oleh Mahani Zubedy, di PJ Live Arts Petaling Jaya, 5 Dis 2025. -- fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Sebuah buku baharu yang menampilkan tadabur al-Quran untuk bacaan harian, '365 Quran-Two Minute Daily Reflections' oleh Mahani Zubedy dilancarkan semalam.


Ringkasan AI
  • Buku "365 Quran-Two Minute Daily Reflections" dilancarkan oleh Mahani Zubedy, menampilkan tadabur al-Quran untuk bacaan harian yang praktikal.
  • Mahani mengungkapkan bahawa idea penulisan buku itu tercetus daripada ayat-ayat al-Quran yang menginspirasi dirinya secara peribadi, bukan sekadar tafsiran ilmiah.
  • Tunku Zain Al-Abidin menyatakan bahawa format buku ini memberi kemudahan kepada individu sibuk untuk memperkukuhkan ketakwaan, sambil menyuntik inspirasi dan mengingatkan tujuan hidup.


Terbitan Zubedy Sdn Bhd, buku berkenaan memuatkan 365 ringkasan untuk pembacaan yang mengambil masa beberapa minit untuk dibaca, mengandungi ayat-ayat al-Quran terpilih diikuti dengan refleksi praktikal yang mudah.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu, Mahani berkata idea untuk menulis buku itu tercetus daripada ayat-ayat al-Quran itu sendiri, dan ia bukanlah tafsiran atau ulasan ilmiah.

"Setiap kali saya membaca sesuatu ayat, saya berasa kagum. Ayat-ayat itu membuatkan saya berfikir dan mencetuskan inspirasi. Saya menghayatinya, meneliti konteks sejarahnya, tetapi penulisan ini sebenarnya mengenai bagaimana ayat itu menyentuh hati saya. Ia adalah refleksi peribadi," katanya.

Pelancaran buku itu disempurnakan oleh Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz, di sini semalam.

Sementara itu, Tunku Zain Al-Abidin berkata format buku ini menyediakan kaedah mudah untuk membantu individu yang sibuk untuk memperkukuh ketakwaan mereka dan membolehkan pembaca menelusuri kandungan tanpa gangguan media sosial.

Ayat-ayat yang terkandung dalam buku itu menyuntik inspirasi, menenangkan, serta mengingatkan pembaca mengenai tujuan hidup, dan penerbitan bahan ilmiah ini akan memberikan manfaat kepada umat Islam dan bukan Islam.

Buku itu boleh didapati di semua kedai buku MPH seluruh negara pada harga RM65.70, dan bersempena dengan pelancarannya ia boleh didapati pada harga promosi RM50.

-- BERNAMA

#Buku #Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz #tadabur al-Quran #Mahani Zubedy