Skip to main content

Malaysia

MAHAR agih daging korban ke sembilan negara sempena Aidiladha

KUALA LUMPUR, 19 Dis -- Presiden Malaysia Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) Jismi Johari berucap ketika hadir pada tayangan perdana filem "The Voice of Hind Rajab" di Dewan Tun Abdul Rahman Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) pada 18 Dis.  -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jismi berkata, Qurban Mahabah adalah manifestasi kesyukuran, talian hayat yang nyata, serta simbol cinta dan kepedulian yang tidak pernah putus daripada rakyat Malaysia buat umat yang sedang diuji. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bantuan kemanusiaan Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), menerusi kempen Qurban Mahabah 2026, mengagihkan daging korban ke sembilan negara termasuk Palestin, Yaman, Sudan dan Somalia sempena Aidiladha tahun ini.

Dalam satu kenyataan, MAHAR berkata kempen itu menyasarkan komuniti yang memerlukan, terpinggir dan terkesan akibat konflik kemanusiaan, kemiskinan tegar serta krisis kebuluran di rantau Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Barat.

“Pelaksanaan edisi kali ini menyaksikan komitmen agihan digerakkan secara serentak dan menyeluruh bermula Khamis bagi memastikan sembilan negara sasaran menerima manfaat sewajarnya,” katanya.

Menurut Presiden MAHAR Jismi Johari, Qurban Mahabah bukan sekadar sebuah ritual tahunan, sebaliknya ia adalah manifestasi kesyukuran, talian hayat yang nyata, serta simbol cinta dan kepedulian yang tidak pernah putus daripada rakyat Malaysia buat umat yang sedang diuji.

"Bagi kebanyakan masyarakat bernasib baik, daging merupakan hidangan harian yang biasa, namun bagi jutaan saudara di Gaza, Yaman, atau di kawasan daif seperti Satkhira, Bangladesh, sambutan Aidiladha setahun sekali inilah satu-satunya peluang untuk mereka menikmati seketul daging, " katanya. 

Menurut MAHAR, di Asia Tenggara, misi itu akan menyantuni asnaf, pelarian dan komuniti pedalaman di Malaysia, masyarakat miskin luar bandar di Indonesia, komuniti Muslim di selatan Thailand serta komuniti Muslim minoriti di Kemboja.

Bantuan itu turut diperluaskan ke Satkhira, Bangladesh bagi membantu komuniti miskin, selain menyalurkan bekalan makanan asas dan daging korban kepada penduduk di Palestin (Gaza), Yaman, Sudan dan Somalia yang berdepan krisis kemanusiaan.

Sepanjang sedekad bergerak aktif, MAHAR konsisten menyalurkan bantuan kecemasan dan pembangunan komuniti mampan, selain berhasrat melipatgandakan impak agihan sebagai tanda kesyukuran serta komitmen berterusan pertubuhan itu.

Sementara itu, MAHAR memberi jaminan setiap fasa pelaksanaan termasuk pemilihan ternakan, penyembelihan patuh syariah dan logistik agihan dikendalikan secara amanah melalui kerjasama dengan rakan strategik tempatan di setiap negara terlibat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement