[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

MAHAR desak tindakan global tangani krisis semakin parah di Syria, Gaza

Bernama 06/05/2025 | 21:30 MYT
MAHAR menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera bagi memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan. - Gambar fail/Facebook MAHAR
KUALA LUMPUR: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap krisis yang semakin meruncing di Syria dan Gaza susulan keganasan, campur tangan asing serta sekatan bantuan yang berterusan menjejaskan kehidupan penduduknya.
Dalam satu kenyataan, MAHAR menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera bagi memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan.
"Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah menjelaskan bahawa negara-negara tidak boleh menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan.
"Masyarakat antarabangsa mesti bertindak sekarang untuk memastikan bantuan sampai kepada yang memerlukan - dan bahawa prinsip belas kasihan dilindungi, bukan dihukum.
"Kini adalah masa untuk perpaduan, keberanian dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap keadilan. Diam bererti bersubahat.
"Tindakan adalah satu kemestian. Marilah kita berdiri bersama - demi Syria, demi Gaza dan demi prinsip agung bahawa belas kasihan bukanlah satu jenayah.." menurut kenyataan itu.
MAHAR turut menggesa penamatan serta-merta terhadap pendudukan asing dan pencerobohan ketenteraan di Syria, penghapusan sekatan haram ke atas Gaza, serta akses penuh tanpa halangan bagi bantuan kemanusiaan.
Pertubuhan itu juga menekankan kepentingan melindungi misi bantuan, termasuk kapal bantuan Conscience dan semua flotila kemanusiaan, serta menuntut kebertanggungjawapan terhadap pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya serangan ke atas misi bantuan.
Dalam pada itu, MAHAR turut menggariskan keperluan untuk menghormati kedaulatan dan integriti wilayah Syria dan Palestin, serta mempertahankan hak rakyatnya untuk hidup dalam suasana aman.
Pihak antarabangsa turut digesa mempertingkat tekanan bagi menghentikan penggunaan kebuluran sebagai senjata peperangan, menurut kenyataan itu.
Penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar berkata, masa depan Syria dan Gaza harus ditentukan oleh rakyatnya sendiri - bukan melalui keganasan, sekatan atau kelaparan.
"Serangan terhadap flotila bantuan bukan sahaja mencabuli maruah manusia - ia adalah serangan terhadap nilai kemanusiaan sejagat kita.
"Kita mesti bertegas menolak sebarang usaha untuk membisukan suara kemanusiaan atau menjadikan belas kasihan sebagai satu jenayah," katanya.
Presiden MAHAR, Jismi Johari pula menyeru agar semua negara yang cintakan keamanan untuk menuntut kebertanggungjawapan terhadap pelanggaran yang berlaku dan memastikan perlindungan terhadap petugas kemanusiaan.
"Solidariti kami bersama rakyat Syria dan Gaza tidak akan goyah. Kami berdiri teguh bersama mereka dalam perjuangan untuk keamanan, keadilan dan maruah," katanya.
Di Syria, MAHAR menyatakan bahawa usaha sistematik untuk memecahbelahkan negara itu mengikut garis etnik dan mazhab menjejaskan segala harapan untuk keamanan, perpaduan dan kedaulatan.
MAHAR turut menyuarakan kebimbangan terhadap situasi yang semakin meruncing di Gaza.
"Selama lebih dua bulan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengenakan sekatan sepenuhnya, menyekat kemasukan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas kepada penduduk.
"Tindakan menjadikan makanan dan bantuan sebagai senjata perang ini telah mewujudkan keadaan yang sangat terdesak, mendorong kanak-kanak ke ambang kebuluran dan kekurangan zat yang serius," menurut kenyataan itu.
MAHAR juga menyifatkan serangan baru-baru ini terhadap kapal bantuan awam Conscience, yang dikendalikan oleh "Freedom Flotilla Coalition" mencerminkan peningkatan yang membimbangkan dalam serangan terhadap misi kemanusiaan.
-- BERNAMA
#bantuan kemanusiaan #Mahkamah Keadilan Antarabangsa #Israel #MAHAR