PUTRAJAYA: Mahasiswa perlu memanfaatkan tempoh pengajian di institusi pendidikan tinggi bukan sahaja untuk mencapai kecemerlangan akademik dan mengasah bakat, malah memperkukuh iman, akhlak, sahsiah serta jati diri supaya ilmu yang dimiliki dapat digunakan untuk membela nasib rakyat dan memperbaiki kepincangan dalam sistem.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendidikan di institusi pengajian tinggi tidak seharusnya hanya berorientasikan pencapaian akademik, malah perlu melahirkan generasi yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab kepada masyarakat, bangsa dan negara.
“Ya, betul, kita gapai yang di langit. Tetapi mesti mengakar ke bumi. Mengakar ke bumi dengan apa? Dengan iman, dengan akhlak, dengan sahsiah, dengan keperibadian dan jati diri.
“Jika pendidikan itu tidak melatih (mahasiswa), tiga tahun, empat tahun di universiti tidak ada kesedaran untuk membela nasib rakyat, tidak ada kesedaran untuk membetulkan kepincangan, kerosakan, kebobrokan dalam sistem, sistem itu tidak terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026, yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), pada Khamis.
Anwar berkata, kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin seseorang memiliki integriti dan kekuatan dalaman untuk menolak salah laku serta kebobrokan dalam sistem.
Katanya, kebanyakan individu yang terlibat dalam salah laku rasuah dan penyalahgunaan kuasa terdiri daripada golongan berpendidikan, malah ada yang memiliki kelayakan sarjana dan doktor falsafah (PhD).
“Tanpa kekuatan dalaman seperti yang pernah diungkapkan oleh Malik Bennabi, mengenai perjuangan dalaman hati nurani yang menginginkan pembaharuan dan perubahan ke arah kebaikan, kita mudah mengetepikan persoalan mengenai apa yang hak dan batil, serta apa yang makruf dan mungkar.
“Maka, pendidikan dan ilmu sahaja tidak menjamin seseorang mempunyai peribadi dan akhlak yang mulia,” katanya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa supaya wujud kebangkitan semangat baharu dalam kalangan Generasi Z dengan tahap kesedaran yang tinggi serta minat untuk berkhidmat dan membela nasib masyarakat.
“Saya percaya (perlu ada) minat untuk khidmat, membela nasib, senang dengan kebaikan, benci dengan kebobrokan,” katanya.
Beliau berkata, semangat berkenaan perlu lebih terserlah dalam kalangan mahasiswa yang diangkat sebagai Tokoh Siswa setiap tahun, bukan sekadar berdasarkan pencapaian akademik, tetapi turut merangkumi semangat, daya juang dan keinginan membawa perubahan.
“Saya harap semangat itu lebih-lebih lagi ada dalam kalangan Tokoh Siswa.
“Apabila kita mengangkat tokoh siswa setiap tahun, kita bukan sahaja mengharapkan pencapaian akademik yang tinggi, tetapi juga semangat, daya juang dan keinginan untuk membawa perubahan serta menyelamatkan bangsa dan negara daripada kerosakan yang terus merosakkan,” katanya.
Sebanyak 11 kategori individu dan satu kategori sinergi berkumpulan dipertandingkan selain Anugerah Utama Tokoh Siswa Negara 2026.
Mohamad Amar Aidid Mohd Zain dari Universiti Utara Malaysia (UUM), yang juga Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UUM sesi 2024/2025, dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Negara 2026.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim dan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Aminuddin Hassim.