MAHB perkenal Rimba sebagai usaha penambahbaikan berterusan di KLIA

‘Rimba’ ialah tarikan terbaharu yang menyambut ketibaan penumpang di Bangunan Satelit Terminal 1, KLIA. - Foto BERNAMA
SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menambah baik operasi dan infrastruktur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi melancarkan lagi pergerakan penumpang serta menawarkan pengalaman perjalanan lebih menarik untuk menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Pengarah Urusannya Datuk Mohd Izani Ghani berkata langkah mengurangkan kesesakan, termasuk penambahbaikan proses pemeriksaan dan pengurusan barisan telah menyumbang kepada pergerakan yang lebih lancar di terminal.
"Banyak daripada penambahbaikan ini berlaku di sebalik tabir, namun apabila aliran penumpang lebih teratur, pengembara dapat merasai perbezaannya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di KLIA, di sini semalam.
Beliau berkata penambahbaikan pengalaman yang lebih menarik untuk pelanggan itu akan mempengaruhi kedudukan KLIA dalam penanda aras lapangan terbang antarabangsa seperti Skytrax dan anugerah Airports Council International Airport Service Quality.
Pengendali lapangan terbang itu pada Selasa lepas memperkenalkan Rimba, iaitu persekitaran baharu berkonsepkan alam semula jadi untuk penumpang transit di Terminal 1 KLIA, yang bertujuan meningkatkan keselesaan sambil mencerminkan identiti Malaysia.
Terletak di Bangunan Satelit, Rimba sebelum ini dirasmikan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail dan dibuka kepada orang ramai sejak 1 Jan.
Mohd Izani berkata Rimba menambah baik Jungle Boardwalk sedia ada dengan mengutamakan keselesaan penumpang, selain menawarkan suasana yang tenang.
"Dengan 50 hingga 60 juta penumpang melalui KLIA setiap tahun, menyediakan suasana yang selesa dan menarik kepada pengembara semasa transit adalah penting. Rimba menawarkan ruang rehat yang lebih selesa sambil mengetengahkan kekayaan alam semula jadi Malaysia," katanya.
Meliputi keluasan 970 meter persegi, Rimba dilengkapi pintu masuk yang telah dinaik taraf, suasana yang lebih kehijauan, dihiasi hiasan lampu hasil kraf tangan tempatan serta tempat duduk berkonsepkan taman untuk keselesaan penumpang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


