Skip to main content

Malaysia

MAHB sambut baik saringan fizikal bersasar bagi perkukuh keselamatan lapangan terbang

41725253664_tbmahb.jpg
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengalu-alukan pelaksanaan semula saringan fizikal secara bersasar di lapangan terbang, sekiranya diperlukan berdasarkan penilaian risiko, sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan memperkukuh keselamatan di pintu masuk negara.
Advertisement

PUTRAJAYA: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengalu-alukan pelaksanaan semula saringan fizikal secara bersasar di lapangan terbang, sekiranya diperlukan berdasarkan penilaian risiko, sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan memperkukuh keselamatan di pintu masuk negara.

Dalam kenyataan hari ini, pengendali lapangan terbang itu memaklumkan langkah berkenaan, dilihat mampu menjadi langkah pencegahan tambahan selain penggunaan pengesan logam mudah alih, manakala penempatan unit anjing pengesan (K9) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), sebagai pelengkap fungsi Keselamatan Penerbangan (AVSEC) sedia ada.

MAHB turut memperkukuh langkah keselamatan sedia ada menerusi penggunaan peralatan saringan yang dipertingkatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), serta lapangan terbang lain.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata pendekatan bersepadu itu, menangani cabaran lama dalam pengurusan keselamatan lapangan terbang, khususnya apabila isu berkaitan melibatkan bidang kuasa beberapa agensi.

“Selama ini, isu keselamatan negara menuntut kami menangani cabaran yang berada di luar skop tugas utama pengendali lapangan terbang. Pendekatan bersepadu ini memberikan kejelasan mengenai peranan dan tanggungjawab setiap pihak, sekali gus membolehkan setiap agensi melaksanakan bidang kuasa dan kepakaran masing-masing,” katanya.

Beliau berkata pengendali lapangan terbang itu kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan agensi penguatkuasaan dalam memastikan keselamatan pintu masuk negara.

Menurut kenyataan MAHB itu, pembahagian peranan dan akauntabiliti lebih jelas menerusi National Immigration Command Centre (NICC) serta Jawatankuasa Teknikal Bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan (KDN-MOT), akan memudahkan pelaksanaan secara lebih bersepadu.

Pendekatan itu turut melibatkan pegawai perhubungan yang dilantik daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), PDRM, JKDM dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), selain MAHB menerusi fungsi operasi serta AVSEC.

Menurut kenyataan itu, AVSEC akan terus memastikan operasi penerbangan awam dilindungi daripada tindakan campur tangan yang menyalahi undang-undang, atau ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan penerbangan dan pengangkutan udara, termasuk penumpang membawa senjata api ke dalam pesawat.

MAHB memaklumkan pengaturan melibatkan pelbagai agensi itu membolehkan pihak berkuasa berkaitan, melaksanakan tanggungjawab mengikut kepakaran masing-masing, selain membolehkan pengendali lapangan terbang memberi tumpuan kepada tanggungjawab terasnya, untuk memastikan operasi lapangan terbang yang selamat, terjamin dan cekap.

Justeru itu, MAHB akan terus berhubung dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi memastikan langkah keselamatan yang dipertingkatkan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Terdahulu Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri meluluskan pelan komprehensif, bagi memperkukuh kawalan di pintu masuk negara dengan tindakan segera bermula semalam.

Isu kawalan keselamatan lapangan terbang mendapat perhatian susulan beberapa kes membabitkan rakyat negara ini, termasuk penahanan seorang juruterbang Malaysia bersama dengan kira-kira 25 kilogram dadah jenis MDMA di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia baru-baru ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement