MALAYSIA
MAHB sasar pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang siap Jun 2028
Mohd Izani ketika menyampaikan sesi taklimat bersama media mengenai hala tuju strategik MAHB hari ini. - Bernama
SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyasar untuk menyiapkan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) menjelang Jun 2028, dengan beberapa fasa kerja sedang dilaksanakan, kata Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Mohd Izani Ghani.
Beliau berkata, projek pembesaran itu yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM1.55 bilion, bertujuan untuk menampung kapasiti jangka panjang dan meningkatkan keselesaan penumpang di salah satu lapangan terbang serantau tersibuk di Malaysia.
Selepas siap kelak, katanya, kapasiti pengendalian lapangan terbang itu dijangka meningkat daripada 6.5 juta penumpang setahun ketika ini kepada 12 juta.
Mohd Izani berkata, projek itu sedang dijalankan dalam tiga fasa, dengan fasa pertama melibatkan kerja-kerja infrastruktur, termasuk penempatan semula pejabat agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Jabatan Meteorologi Malaysia, yang kini terletak dalam perkarangan lapangan terbang.
"Kerja-kerja di Fasa Satu telahpun dimulakan, manakala Fasa Dua, menumpukan pada pembesaran apron, juga sedang berjalan, dan Fasa Tiga, yang melibatkan pembesaran terminal utama, sedang berada di peringkat akhir reka bentuk, dengan kelulusan lembaga dan pelantikan kontraktor disasarkan akhir tahun ini.
"Tarikh sasaran siap kekal pada Jun 2028, dan kami komited untuk memenuhi garis masa tersebut," katanya semasa taklimat media mengenai hala tuju strategik MAHB di sini, hari ini.
Mohd Izani, yang dilantik pada Ogos tahun lalu, turut mengesahkan bahawa kerajaan telah meluluskan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), yang menghampiri kapasiti maksimum sembilan juta penumpang setiap tahun.
Menurutnya, MAHB kini sedang memuktamadkan pelan pembangunan untuk mengembangkan kapasiti KKIA kepada 12 juta penumpang dan menyasarkan untuk melantik kontraktor menjelang akhir tahun.
Lapangan terbang lain yang berada dalam rangkaian MAHB juga sedang dalam perancangan untuk dinaik taraf termasuk Tawau, Miri dan Kota Bharu.
Projek menaik taraf lapangan terbang Tawau dan Miri akan dibiayai melalui peruntukan dalam bajet pembangunan persekutuan.
Di lapangan terbang Kota Bharu, Fasa Satu projek menaik taraf telah selesai pada Ogos tahun lalu dan telahpun beroperasi, manakala Fasa Dua dijangka siap pada suku pertama 2026.
Mengulas cadangan kerajaan Sarawak untuk membangunkan lapangan terbang antarabangsa baharu bagi menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sedia ada, Mohd Izani berkata perkara itu masih dalam perbincangan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
"Kami maklum akan akan hasrat kerajaan negeri dan mereka telahpun menghubungi kami untuk mendapatkan bantuan teknikal. Bagaimanapun, sebarang keputusan mengenai operasi akan bergantung kepada hasil dialog persekutuan-negeri," katanya.
Beliau berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching masih belum sesak sepenuhnya, dan masih ada persoalan mengenai daya maju ekonomi mengendalikan dua lapangan terbang di bandar yang sama.
Berkenaan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Mohd Izani berkata penaikan taraf baru-baru ini termasuk penambahbaikan pada ruang istirahat VIP dengan menyatakan bahawa lapangan terbang itu telah memenangi anugerah Lapangan Terbang Terbaik di bawah kategori lima juta penumpang selama empat tahun berturut-turut.
Beliau berkata potensi pelancongan Langkawi masih kurang dimanfaatkan, terutamanya dari segi menarik syarikat penerbangan antarabangsa.
"Langkawi setanding dengan destinasi seperti Bali dan Phuket, tetapi sambungan udara masih kurang. Kita memerlukan dorongan pemasaran yang lebih kolaboratif melibatkan MAHB, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan agensi pelancongan negeri," katanya.
Mengenai Lapangan Terbang Subang, Mohd Izani berkata pembesaran terminal yang siap tahun lepas dengan kos RM22 juta, telah meningkatkan kapasitinya kepada tiga juta penumpang setiap tahun, walaupun operasi pesawat kekal terhad kepada 15 pergerakan sehari seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.
Dengan AirAsia memindahkan operasi pesawatnya ke Terminal 2 KLIA dan Firefly dilaporkan merancang untuk menamatkan operasinya di Subang, MAHB sedang mengkaji semula slot yang ada dengan berunding bersama Kementerian Pengangkutan.
"Keutamaan akan diberikan kepada syarikat penerbangan tempatan, tetapi perbincangan masih berjalan mengenai kemungkinan menawarkan slot kepada syarikat penerbangan asing," katanya.
--BERNAMA