SEPANG: Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) akan terus mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya selepas skim Perjalanan Laluan Lengkap Vaksin (VTL) dilaksanakan bermula Isnin.

Pengerusinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya juga akan memberi tumpuan dan berwaspada terhadap penularan varian Omicron yang dilihat mula menyerang beberapa negara lain.

"Sudah pasti itu (varian Omicron) menjadi kebimbangan kami kerana ini adalah yang terbaru.

"Begitupun, kami masih belum menerima arahan lanjur daripada kementerian. Kita harap dapat bekerjasama rapat dengan kementerian dan pihak berkuasa bagi memastikan varian itu tidak menular di Malaysia," katanya.

BACA: 240 pengembara VTL Udara selamat tiba di Malaysia

BACA: VTL buka ruang satukan keluarga terpisah akibat COVID-19

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan seramai 240 pengembara dari Singapura yang menggunakan skim VTL udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.

Dalam majlis ringkas tersebut, pengembara yang menaiki pesawat SQ108 tiba di KLIA pada jam 9.25 pagi dan ketibaan mereka disambut Zambry.

Beliau ketika ditemui dalam majlis meraikan penumpang tersebut nyata berpuas hati dengan semua proses dilaksanakan, bermula dari ketibaan sehinggalah bergerak mengambil ujian saringan COVID-19.


[SIDANG MEDIA] Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)

Selepas Singapura, kerajaan sedang berbincang pelbagai Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) bersama negara jiran serantau seperti yang dilakukan antara Malaysia dan negara itu yang bermula secara rasmi hari ini.

Bagaimanapun, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, rancangan itu akan dilakukan secara tersusun dengan mempertimbangkan kemunculan varian baharu Omicron.

Tambah Khairy, VTL melalui laluan udara dan darat antara Malaysia dan Singapura merupakan langkah pertama dalam pembukaan selamat sempadan atau #ReconnectingSafely antara negara jiran.