Mahfuz bawa 'Ultraman' masuk sekolah

Sinar Harian
Januari 1, 2020 08:47 MYT
Murid-murid SK Taman Awana kelihatan teruja dengan kehadiran maskot ultraman ke sekolah tersebut. Turut kelihatan Ismail (kiri) dan Mahfuz (dua kiri). - Gambar SINAR HARIAN
Watak adiwira Ultraman menanti 102 murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Awana yang mengikuti hari pertama sesi persekolahan tahun ini.
Ramai murid yang dilihat teruja bertemu maskot tersebut yang berada di hadapan pintu utama sekolah bagi menyambut kehadiran mereka.
Usaha Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar itu mendapat reaksi positif ibu bapa dan dirancang sejak minggu lalu.
Menurut Mahfuz, sekolah itu dipilih oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah kerana turut mempunyai 24 murid kelas Pendidikan Khas.
"Saya yakin cara kita meraikan murid ini secara tidak langsung memberi semangat kepada mereka selain mengubah persepsi terhadap sekolah. Ibu bapa juga gembira melihat anak mereka ceria," katanya kepada media selepas Majlis Meraikan Pelajar Tahun Satu sekolah berkenaan hari ini.
Mahfuz yang diiringi Timbalan Pengarah JPN Kedah, Ismail Othman berkata, selain institusi sekolah, ibu bapa perlu memainkan peranan penting membimbing anak mereka bagi mengelakkan gejala sosial.
Sementara itu, Ruzaini Abu Talib, 32, gembira usaha JPN Kedah dan pemimpin setempat meraikan hari pertama persekolahan anaknya, Muhammad Sayf Nuqman Mohd Saifuddin, 7.
Menurutnya, Muhammad Sayf tidak sabar turun dari kereta apabila melihat Ultraman yang berada di depan pintu pagar sekolah.
"Anak saya memang teruja melihat maskot Ultraman tersebut. Saya gembira kerana dia tidak takut untuk masuk ke sekolah kerana hari ini adalah hari pertamanya," katanya.
#Alor Setar #Mahfuz Omar #masuk sekolah #pokok sena #Sekolah Kebangsaan Taman Awana #Ultraman