NATIONAL
Mahkamah benar pengarah syarikat warga India diikat jamin RM50,000
Mahkamah Sesyen sebelum ini tidak membenarkan jaminan kerana dia merupakan warga asing, namun Rajinder telah berada di Malaysia selama lapan tahun dengan dokumen perjalanan yang sah. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat warga India yang berhadapan pertuduhan pecah amanah wang syarikat, dibenar diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi membenarkan pengarah syarikat warga India, Rajinder Singh, diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, selepas permohonan semakan jaminan.
- Rajinder Singh menghadapi pertuduhan pecah amanah wang syarikat Vantage Trading Partners berjumlah RM141,486.12, yang didakwa dilakukan pada 13 Okt 2021 dan 26 Nov 2021. Dia juga menghadapi pertuduhan pilihan menggunakan wang tanpa persetujuan mesyuarat agung.
- Rajinder mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan. Mahkamah Sesyen sebelum ini tidak membenarkan jaminan kerana dia merupakan warga asing, namun Rajinder telah berada di Malaysia selama lapan tahun dengan dokumen perjalanan yang sah.
Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas mendengar permohonan semakan jaminan oleh peguam Daniel Annamalai yang mewakili Rajinder Singh, 57, selepas pemohon tidak dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.
"Mahkamah membenarkan pemohon diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin warganegara, dengan syarat tambahan pasportnya diserahkan kepada mahkamah," kata hakim itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah berkata timbalan pendakwa raya di Mahkamah Sesyen menawarkan jaminan RM70,000, tetapi ia tertakluk kepada budi bicara hakim mahkamah itu untuk memberikan jaminan.
"Sekiranya mahkamah ini membenarkan pemohon diikat jamin, pihak kami juga mencadangkan jumlah sama (RM70,000) dengan dua penjamin warganegara serta syarat tambahan pasport pemohon diserahkan kepada mahkamah," katanya.
Daniel berkata Mahkamah Sesyen tidak membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan dia merupakan warga asing, tetapi Rajinder telah berada di Malaysia kira-kira lapan tahun atas urusan kerja dan mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
"Jumlah RM70,000 yang ditawarkan agak tinggi bagi anak guam, dengan rendah diri kami memohon jaminan RM40,000 sekiranya mahkamah ini membenarkan pemohon diikat jamin," kata peguam itu.
Isnin lepas (5 Mei), Rajinder mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat Vantage Trading Partners berjumlah RM141,486.12, iaitu wang yang dalam jagaan lelaki itu sebagai pemegang kuasa di syarikat berkenaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di syarikat tersebut di Ilham Tower, Jalan Binjai di sini, pada 13 Okt 2021 dan 26 Nov 2021, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan menggunakan wang sama tanpa persetujuan atau ratifikasi mesyuarat agung di lokasi dan tarikh sama, mengikut Seksyen 218 (1) (a) Akta Syarikat Malaysia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 218 (2) akta berkenaan, yang berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda hingga RM3 juta atau kedua-duanya.
-- BERNAMA