MALAYSIA

Mahkamah benar permohonan gantung hukuman penjara mudir ajar agama tanpa tauliah

Bernama 10/11/2025 | 06:40 MYT
Pada 13 Nov tahun lepas, Zahanizam dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengajar tanpa tauliah di sebuah madrasah sejak 2021. - Gambar fail/ Sinar Harian
SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan bagi menggantung perintah hukuman penjara terhadap seorang mudir yang didapati bersalah mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah madrasah sejak 2021.

Hakim Syarie Zulfikri Yasoa membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujah dan alasan pihak pembelaan ketika prosiding pendengaran permohonan tersebut, yang dijalankan tanpa kehadiran Zahanizam Rohan, 52.

Zulfikri turut memaklumkan bahawa penggantungan hukuman itu berkuat kuasa hari ini dan Zahanizam dibenarkan diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu permohonan bagi kebenaran merayu diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah.

BACA: GISB: 'Saya nak bertaubat, mahu tinggalkan ajaran menyalahi Islam' - Mudir

Terdahulu, Peguam Syarie Boestaman Ahmad memaklumkan bahawa permohonan itu dibuat atas faktor kesihatan anak guamnya yang menghidap penyakit hernia dan perlu menjalani pembedahan bulan depan di sebuah hospital di Batu Pahat, Johor.

"Pemohon dijangka dibebaskan pada Januari 2026 namun keadaan kesihatannya amat memburuk menyebabkan kami memfailkan notis rayuan itu secepat mungkin.

"Penyakit yang dialaminya perlu dirawat di klinik pakar dan dia hanya menerima rawatan dari klinik biasa di penjara," katanya.

Pada 13 Nov tahun lepas, Zahanizam dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengajar tanpa tauliah di sebuah madrasah sejak 2021.

Dia didakwa mengajar subjek agama Islam berkaitan tauhid di sebuah madrasah di Kampung Ulu Beting, Kuala Pilah tanpa tauliah daripada Jawatankuasa Tauliah yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 antara Disember 2021 hingga September 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 53 Enakmen-Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 Pindaan 2019 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

#GISB #mudir madrasah #mengajar tanpa tauliah #kes mahkamah