Mahkamah Tinggi membenarkan bekas pembantu Mohd Saiful Bukhari Azlan meminda pernyataan tuntutan dalam kes saman RM50 juta terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memetik laporan The Star, peguam Zamri Idrus yang mewakili Saiful Bukhari berkata Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan membenarkan anak guamnya untuk meminda pernyataan dengan kos RM1,000.

Zamri memberitahu bahawa pihaknya harus menyerahkan pindaan pernyataan tersebut kepada Anwar pada 6 Februari bagi membolehkan beliau memfaikan pernyataan pembelaan yang dipinda pada 23 Februari.

Mahkamah telah menetapkan 13 Mac ini bagi pengurusan kes berkenaan.

Pada 16 Januari, Saiful Bukhari memfailkan permohonan pindaan untuk memasukkan butiran terperinci berhubung dakwaan fitnah oleh Anwar tentang laporan polis yang dibuat oleh Saiful Bukhari tentang kejadian liwat yang berlaku enam tahun lalu.

Pada 7 Mac tahun lepas, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendengaran rayuan terakhir Anwar Ibrahim berlangsung di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada October 2014 dan pada 7 November Mahkamah menangguhkan keputusan ke satu tarikh lain.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Anwar diwakili 14 peguam diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.

Peguam lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, N.Surendran, R.Sivarasa, J.Leela, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu.

Beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.