MALAYSIA

Mahkamah benar Sarkozy keluar penjara selepas tiga minggu sementara tunggu rayuan

Bernama 10/11/2025 | 22:30 MYT
Kenderaan yang dipercayai membawa bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, meninggalkan Penjara Sante selepas mahkamah Paris membenarkan pembebasan awal beliau daripada tahanan. - Foto REUTERS
PARIS: Bekas presiden Perancis Nicolas Sarkozy dibenarkan keluar dari penjara dan menjalani hukuman penjara lima tahun di bawah pengawasan kehakiman sementara menunggu rayuannya dalam kes konspirasi jenayah, menurut keputusan mahkamah rayuan Paris pada Isnin, lapor agensi berita Jerman dpa.


Ringkasan AI
  • Bekas presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, dibenarkan keluar dari penjara dan menjalani hukuman lima tahun di bawah pengawasan kehakiman sementara menunggu rayuan dalam kes konspirasi jenayah berhubung dakwaan kewangan kempen daripada Muammar Gaddafi.
  • Sarkozy diperintahkan melapor diri ke penjara pada 21 Okt walaupun pasukannya telah memfailkan rayuan serta-merta terhadap sabitan itu, dan beliau telah menghabiskan tiga minggu lalu di Penjara La Sante di Paris.
  • Kes berkaitan Libya itu bermula dari dakwaan bahawa kempen presiden Sarkozy pada 2007 menerima dana haram daripada rejim Gaddafi, walaupun tiada bukti dana kempen haram ditemui, mahkamah menyimpulkan bahawa Sarkozy sekurang-kurangnya berusaha mendapatkan dana daripada pemimpin Libya tersebut.


Mahkamah rendah mensabitkan Sarkozy pada September kerana mengambil bahagian dalam organisasi jenayah berhubung dakwaan kewangan kempen daripada bekas diktator Libya, Muammar Gaddafi.

Lelaki berusia 70 tahun itu diperintahkan melapor diri ke penjara pada 21 Okt walaupun pasukannya telah memfailkan rayuan serta-merta terhadap sabitan itu, dan beliau telah menghabiskan tiga minggu lalu di Penjara La Sante di Paris.

Sarkozy memohon pembebasan bersyarat sejurus selepas mula menjalani hukumannya. Di Perancis, peruntukan itu terpakai bagi banduan berusia 70 tahun ke atas, membolehkan mereka menjalani hukuman di luar penjara tertakluk kepada syarat tertentu.

Kes berkaitan Libya itu berpunca daripada dakwaan bahawa kempen presiden Sarkozy pada 2007 menerima dana haram daripada rejim Gaddafi.

Walaupun Mahkamah Jenayah Paris tidak menemui bukti dana kempen haram, mahkamah itu menyimpulkan bahawa ahli politik konservatif yang juga sekutu rapat Gaddafi itu sekurang-kurangnya telah berusaha mendapatkan dana daripada pemimpin Libya tersebut.

-- BERNAMA







#Nicolas Sarkozy #penjara #rayuan #Muammar Gaddafi