PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan sebahagian rayuan Badan Peguam Malaysia berhubung perarakan Walk for Judicial Independence pada 2022, dan memberikan ganti rugi berjumlah RM59,499 susulan pelanggaran hak mereka di bawah Perlembagaan.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Dr Choo Kah Sing memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi khas sebanyak RM19,499 kepada Badan Peguam serta RM10,000 kepada Karen Cheah Yee Lynn, Mohamad Ezri Abdul Wahab, B. Anand Raj dan Murshidah Mustafa, yang memegang jawatan dalam organisasi itu ketika saman tersebut difailkan.
Perarakan itu dianjurkan pada 17 Jun 2022 bagi membantah pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengenai siasatan terhadap Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, ketika itu Hakim Mahkamah Rayuan (kini Hakim Mahkamah Persekutuan).
Badan Peguam menyifatkan pengumuman itu sebagai campur tangan terhadap kebebasan kehakiman dan pelanggaran prinsip pengasingan kuasa.
Pada 20 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pihak polis telah bertindak ultra vires, atau melampaui bidang kuasa mereka, dengan mengenakan syarat yang melarang perarakan itu.
Bagaimanapun, mahkamah hanya memberikan ganti rugi nominal sebanyak RM1 kepada Badan Peguam, jumlah yang dicadangkan oleh peguam yang mewakili organisasi itu.
Saman itu difailkan pada 20 Okt 2022 terhadap enam defendan termasuk bekas Ketua Polis Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia berhubung dakwaan pelanggaran hak plaintif di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Menerusi pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa kesemua defendan telah melanggar hak mereka di bawah akta berkenaan dengan melarang plaintif dan 500 ahli serta pelatih masing-masing daripada mengadakan perhimpunan di tempat letak kereta Padang Merbok, Jalan Parlimen ke pintu masuk utama bangunan Parlimen pada 17 Jun 2022 untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau wakil beliau.
Ketika menyampaikan penghakiman panel itu, Choo yang bersidang bersama-sama Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Dr Lim Hock Leng turut mengetepikan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur diperlukan bagi mengadakan perhimpunan di Padang Merbok.
Mahkamah memutuskan bahawa notis yang dikemukakan oleh Badan Peguam kepada pihak polis di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah sah.
“Surat daripada Ketua Polis Daerah Dang Wangi yang mengenakan syarat terhadap perarakan itu telah dikeluarkan selepas tamat tempoh yang ditetapkan dan oleh itu, adalah tidak sah.”
“Badan Peguam telah memaklumkan kepada pihak polis pada 3 Jun 2022 namun hanya menerima maklum balas pada 16 Jun, iaitu kurang daripada 24 jam sebelum perarakan itu. Di bawah Seksyen 14 Akta berkenaan, pihak polis perlu memberikan maklum balas berserta sebarang syarat dalam tempoh tiga hari,” katanya.
Bagaimanapun, panel berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan berhubung pemenjaraan salah, dengan mendapati bahawa kebebasan para peserta tidak disekat sepenuhnya.
“Walaupun para peserta dilarang berarak ke Bangunan Parlimen, mereka tidak dihalang secara fizikal daripada meninggalkan kawasan tersebut,” katanya.
Mahkamah juga mengekalkan dapatan bahawa pihak polis tidak bertanggungjawab atas salah laku dalam jawatan awam serta menolak tuntutan berkaitan isu itu memandangkan ia gagal memenuhi prasyarat subjektif yang tinggi sebagaimana dikehendaki undang-undang.
Selain itu, mahkamah memutuskan untuk tidak memberikan ganti rugi am, ganti rugi teruk atau ganti rugi teladan.
Mahkamah juga memerintahkan agar faedah pada kadar lima peratus setahun dikenakan ke atas jumlah ganti rugi yang diberikan bermula dari tarikh penghakiman Mahkamah Tinggi hingga penyelesaian penuh dan tiada perintah berhubung kos.
Plaintif menuntut ganti rugi khas berjumlah RM19,449, ganti rugi am, teruk dan teladan serta kos selain deklarasi bahawa hak-hak mereka telah dilanggar manakala penahanan mereka adalah salah dan tidak sah di sisi undang-undang.
-- BERNAMA