Mahkamah benarkan Ahmad Zahid dapatkan pasport untuk tunaikan umrah April ini

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dijadualkan mengerjakan umrah bermula 21 hingga 30 April ini. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat membenarkan permohonan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan pasportnya bagi mengerjakan umrah.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan bekas timbalan perdana menteri itu mendapatkan dokumen tersebut serta-merta memandangkan beliau memerlukannya untuk permohonan visa.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dijadualkan mengerjakan umrah bermula 21 hingga 30 April ini.
Mahkamah membenarkan permohonan bagi pelepasan pasport itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan pihaknya tiada bantahan terhadap permohonan berkenaan.
Raja Rozela turut memaklumkan, memandangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini bertindih dengan tarikh Ahmad Zahid mengerjakan umrah, maka hari perbicaraan yang dilapangkan perlu digantikan dengan tarikh baharu.
Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata, anak guamnya mengaku janji untuk memulangkan pasport itu pada 5 Mei ini.
Dalam pada itu, Sequerah kemudian menetapkan 13 dan 15 April ini serta 1 Julai bagi tarikh gantian perbicaraan bela diri.
Ini adalah kali kedua Ahmad Zahid memohon pelepasan pasportnya selepas Sequerah pada 11 Oktober tahun lalu membenarkan beliau mendapatkan dokumen itu bagi membolehkannya menerima rawatan pembedahan tulang belakang di Munich, Jerman.
Pada prosiding 13 April ini, Ahmad Zahid akan mula membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zahid didakwa dengan 12 pertuduhan pecah amanah, iaitu menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi lapan tuduhan rasuah pula, beliau didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.
Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polikarbonat Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Pada 24 Januari lalu, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

