Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Mahkamah benarkan Muhyiddin dapat sementara pasport ke UK

Bernama 18/11/2025 | 09:00 MYT
Hakim membenarkan Muhyiddin, 78, untuk mendapatkan pasport sementara bermula 8 Dis 2025 hingga 5 Jan 2026. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bagi membolehkan beliau menjalani pemeriksaan kesihatan penyakit kanser pankreas yang dialami serta meluangkan masa bersama keluarga di United Kingdom (UK).


Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi benarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pasport sementara bagi menjalani pemeriksaan kesihatan kanser pankreas di UK serta meluangkan masa bersama keluarga.
  • Hakim Noor Ruwena Md Nurdin benarkan permohonan dengan syarat tempoh pemulangan pasport dipendekkan bermula 8 Dis 2025 hingga 5 Jan 2026.
  • Muhyiddin didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa dan menerima wang haram berjumlah RM200 juta dari Bukhary Equity Sdn Bhd.


Hakim Noor Ruwena Md Nurdin membenarkan permohonan Muhyiddin, 78, untuk mendapatkan pasport sementara bermula 8 Dis 2025 hingga 5 Jan 2026.

"Permohonan ini dibenarkan dengan syarat tempoh pemulangan pasport sementara dipendekkan, pasport akan dipulangkan sementara kepada peguam pemohon (Muhyiddin) pada 8 Dis 2025 dan bukan pada hari ini, manakala pasport dikembalikan semula kepada mahkamah pada atau sebelum 5 Jan 2026.

"Berdasarkan afidivit sokongan, saya tidak melihat justifikasi untuk transit ke Dubai selama lima hingga enam hari sebelum kembali ke Malaysia. Pemohon boleh transit di Dubai selama satu ke dua hari. Pemohon telah menempah tiket sebelum kebenaran diperoleh daripada mahkamah, maka pemohon telah mengambil risiko dan tindakan ini akan membuka flood gate (permohonan yang sama)," katanya.

Sebelum ini, mahkamah telah beberapa kali membenarkan permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasportnya secara sementara antaranya bagi menghadiri majlis graduasi cucu dan konsultasi berhubung penyakit kanser pankreas yang dihadapinya di London, pemeriksaan perubatan di Singapura dan menghadiri majlis pembukaan restoran rakannya di Thailand.

Terdahulu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya memohon untuk mendapatkan pasport bermula hari ini sehingga 12 Jan 2026 untuk menjalani pemeriksaan kesihatan susulan tahunan berhubung penyakit kanser pankreas di UK.

"Selain menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan pandangan perubatan di UK, anak guam saya juga berhasrat untuk meluangkan masa bersama keluarganya.

"Beliau mempunyai tiga orang cucu yang kini menetap di UK dan selepas urusan perubatan selesai beliau juga berharap dapat menghabiskan sedikit masa bersama isteri dan keluarganya di Madrid," katanya, sambil menambah tiada risiko untuk anak guamnya melarikan diri.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mahadi Abdul Jumaat berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan rawatan susulan di UK, sebaliknya membantah permohonan Muhyiddin untuk meluangkan masa dengan isteri dan keluarganya di Madrid kerana ia akan membuka flood gate untuk permohonan sedemikian.

"Sekiranya, mahkamah membenarkan permohonan pemohon pihak pendakwaan memohon agar permohonan itu hanya setakat 20 Dis 2025," katanya, yang mengendalikan kes bersama TPR Noralis Mat dan Wan Iman Wan Ahmad Afzal.

Muhyiddin, 78, yang ketika kejadian memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Beliau juga berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

-- BERNAMA


#kes rasuah bekas PM #kes rasuah Muhyiddin #kes mahkamah Muhyiddin #Projek Jana Wibawa