[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Mahkamah benarkan Muhyiddin dapat sementara pasport untuk lawat kakak ipar sakit

Bernama 25/04/2025 | 06:45 MYT
Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan sementara pasport antarabangsanya bagi membolehkan beliau melawat kakak iparnya yang sakit di Australia.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Sesyen membenarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan pasport sementara untuk melawat kakak iparnya yang sakit di Australia, dengan syarat pasport dikembalikan pada 20 Mei.
  • Sebelum ini, Muhyiddin telah beberapa kali diberi kebenaran untuk mendapatkan pasport sementara bagi tujuan peribadi seperti rawatan perubatan dan menghadiri majlis keluarga.
  • Muhyiddin menghadapi tuduhan rasuah dan menerima wang hasil aktiviti haram yang melibatkan jumlah besar, dengan kes-kes tersebut sedang dibicarakan di mahkamah.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Kee Wei Lon yang mewakili Muhyiddin dan tidak dibantah oleh pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat.
"Pasport akan diserahkan kepada pemohon pada hari ini dan diserahkan kembali kepada mahkamah pada 20 Mei," kata Azura.
Sebelum ini, mahkamah telah beberapa kali membenarkan permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasportnya secara sementara antaranya bagi menghadiri majlis graduasi cucu dan konsultasi berhubung penyakit kanser pankreas yang dihadapi beliau di London, United Kingdom, pemeriksaan perubatan di Singapura dan menghadiri majlis pembukaan restoran rakannya di Thailand.
Muhyiddin, 77, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.
Muhyiddin turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac 2023 atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.
-- BERNAMA
#Muhyiddin Yassin #Jana Wibawa #dapatkan sementara pasport #kakak ipar sakit #terkini