MALAYSIA

Mahkamah beri masa bertenang seminggu kepada pendakwaan, pembelaan Syed Saddiq

Sinar Harian 12/12/2025 | 07:30 MYT
Syed Saddiq tiba di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat membuat kejutan apabila memberi masa kepada pihak pendakwaan untuk menilai semula rayuannya berhubung keputusan yang membebaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas empat kes menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), tujuh tahun lalu.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Persekutuan membuat kejutan dengan memberi masa kepada pihak pendakwaan untuk menilai semula rayuan kes pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
  • Panel tiga hakim meminta kedua-dua pihak merenung kembali hujahan yang difailkan dalam tempoh seminggu.
  • Keputusan ini memerlukan pihak berkenaan untuk mempersiapkan pendirian mereka bagi kes tersebut.


Panel tiga hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais juga meminta pihak pendakwaan dan pembelaan merenung kembali hujahan yang difailkan.

“Kedua-dua pihak perlu bertenang dan teliti semula hujahan masing-masing, saya beri masa seminggu.

“Jika anda rasa ‘strong conviction’ dan percaya rayuan ini perlu diputuskan oleh mahkamah ini atau berpandangan kami perlu semak semula, anda nyatakan pendirikan masing-masing kepada kami,” katanya yang bersidang bersama dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin sementara pembelaan bagi pihak Syed Saddiq, 33, diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Semasa prosiding, Abu Bakar menggunakan analogi yang menarik, iaitu berdasarkan perlawanan hoki.

Katanya, jika pengadil merasakan pemain tidak bermain mengikut peraturan, dia akan menggantungkan pemain itu beberapa minit.

Kemudian beliau berkata, pengadil menyuruh pemain berkenaan meneruskan semula perlawanan di padang.

“Jadi, apa yang saya mahu beritahu ialah, kedua-dua pihak maklumkan kepada mahkamah, selepas menyemak semula permohonan masing-masing.

"Saya harap semua pihak ambil perhatian mengenai perkara ini, mahkamah cuma mahu tahu pilihan anda,” katanya.

Beliau turut memberitahu pengalamannya ketika berkhidmat sebagai pihak pendakwaan semasa di Jabatan Peguam Negara.

Hakim itu berkata, mereka akan membuat mesyuarat sebelum menyemak bersama anggota pendakwaan lain.

Abu Bakar kemudiannya menyebut kesemua tujuh nama-nama timbalan pendakwa raya yang mengendalikan rayuan tersebut.

“Saya harap kamu semua balik dan berbincang jika rasa masih boleh buktikan rayuan, sila kekalkan.

“Bagaimanapun, jika semakan dan tidak mempunyai alasan kukuh, mahkamah kami akan beri keputusan.

“Kami tiga hakim akan menulis keputusan sama ada membenarkan rayuan ini atau tidak,” katanya.

Disebabkan perkara itu beliau berkata, mahkamah memberi masa yang singkat untuk menyatakan pendirian masing-masing.

Wan Shaharudin: Saya tak faham, Yang Arif menyatakan kita perlu pulang untuk berbincang sama ada mahu teruskan rayuan tidak?

Abu Bakar: Balik dan ‘cool down’ dulu, putuskan sama ada anda mahu teruskan atau tidak. Jangan buat tak faham sebab perkara ini bukannya tidak pernah berlaku.

Hisyam: Saya ingin maklumkan, sesetengah daripada kami mungkin tidak dapat hadir dalam prosiding keputusan kelak.

Abu Bakar: Apabila mahkamah membuat keputusan, keperluannya hanyalah untuk memaklumkan kepada pihak-pihak yang terlibat, sama ada anda berada di pulau Caribbean bukanlah urusan kami.

“Anda mungkin mahu berada di tempat yang eksotik namun terus terang, kami tidak peduli.

“Sama ada anda berada di sini atau tidak, kami akan menyampaikan keputusan,” kata hakim.

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.

Bagaimanapun, pada 25 Jun lalu, anak jati Johor Bahru itu bernasib baik apabila Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskannya daripada sabitan serta hukuman itu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara menyatakan tindakan mengarahkan seseorang untuk mengeluarkan wang, tidak boleh dikatakan melupuskan dana. - Sinar Harian








#Syed Saddiq #keputusan mahkamah #dana armada #pengubahan wang haram