[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Mahkamah keluar perintah interim halang kenyataan berhubung kes kematian Syamsul Haris

Bernama 18/09/2025 | 07:30 MYT
Mahkamah Tinggi keluar perintah interim melarang Menteri Pertahanan dan Kementerian Pertahanan daripada mengeluarkan kenyataan berhubung kes kematian pelatih Palapes UTM, Syamsul Haris Shamsudin (foto). -Gambar fail
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini mengeluarkan perintah interim melarang Menteri Pertahanan dan Kementerian Pertahanan mengeluarkan kenyataan berhubung kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Syamsul Haris Shamsudin.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi keluar perintah interim melarang Menteri Pertahanan dan Kementerian Pertahanan daripada mengeluarkan kenyataan berhubung kes kematian pelatih Palapes UTM, Syamsul Haris Shamsudin.
  • Perintah dibuat susulan permohonan ibu mangsa sementara menunggu keputusan siasatan polis dan bedah siasat kedua.
  • Kes kini di bawah siasatan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman, dengan pengurusan kes ditetapkan pada 26 September.


Hakim Adlin Abdul Majid membuat keputusan itu selepas menerima makluman aku janji daripada Peguam Kanan Persekutuan Roziza Sidek yang mewakili Menteri Pertahanan dan kementerian berkenaan dan menetapkan 26 Sept depan sebagai pengurusan kes.

"Arahan mahkamah ialah untuk Puan Roziza mendapatkan pengesahan berkenaan aku janji daripada kementerian... sementara menunggu pelupusan kes ini, (Menteri Pertahanan dan) Kementerian Pertahanan Malaysia (diberi perintah interim) untuk tidak menerbitkan sebarang bentuk kenyataan...," katanya.

Sebelum ini, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, melalui peguam Datuk Naran Singh, memohon perintah larangan supaya kedua-dua responden tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau penerbitan di media sementara menunggu keputusan penuh siasatan polis dan bedah siasat kedua anaknya.

Media sebelum ini melaporkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kini mengambil alih sepenuhnya siasatan kes kematian pelatih Palapes UTM Skudai itu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos lepas membenarkan permohonan keluarga Allahyarham untuk menggali semula kubur serta menjalankan bedah siasat kedua.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia pada 28 Julai lepas di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat, Ulu Tiram dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu.

-- BERNAMA


#Mahkamah Tinggi #perintah interim #Syamsul Haris Shamsudin #Kementerian Pertahanan #pelatih Palapes UTM