Mahkamah Koroner menetapkan 9 Ogos ini bagi keputusan berhubung permohonan ex-parte (sebelah pihak) terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas.

Terdapat dua isu yang akan dimuktamadkan seperti yang disuarakan peguam Haniff Khatri yang mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim termasuk isu afidavit yang telah dikemukakan oleh Peguam Negara.

"Kita nak lihat sejauh mana mahkamah memandang afidavits tersebut, sejauh mana ia dinilai atau sekadar sebahagian daripada bukti", katanya ketika ditemui di luar mahkamah pada Rabu.

Perkara itu juga telah mendapat persetujuan daripada Peguam Kanan Persekutuan, Narkunavathy Sundereson yang juga wakil kepada Peguam Negara.

Sebelum ini Tommy menerusi salah satu afidavit terbaharu berkata beliau tidak pernah campur tangan berhubung afidavit sebelum ini yang dikemukakan Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah.

Dalam afidavit pertama, laporan berkenaan menyatakan kecederaan Muhammad Adib bukan akibat dipukul berdasarkan keterangan saksi semasa prosiding inkues.

Hasil penjelasan dalam afidavit itu juga telah membuatkan pihak Jawatankuasa Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 menarik balik permohonan mereka untuk menjadi sebahagian daripada pihak berkepentingan dalam sesi prosiding inkues.

Bagaimanapun, perkara itu tidak memuaskan pihak keluarga Allahyarham Muhammad Adib yang menyifatkan kenyataan itu sebagai satu penghinaan terhadap mahkamah susulan prosiding inkues yang masih belum selesai.

Menerusi permohonan (ex-parte) itu lagi rumusan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan dalam keadaan inkues masih belum tamat.

BACA: Prosiding Inkues Muhammad Adib tamat