Ikuti perkembangan Banjir Aceh dan Sumatera di sini
MALAYSIA

Mahkamah Paris batalkan sepenuhnya ‘final award’, perintah waris Sulu bayar kos kepada Malaysia

Astro Awani 10/12/2025 | 10:55 MYT
Azalina menegaskan bahawa Putrajaya kekal komited mempertahankan kedaulatan, kekebalan dan kepentingan negara daripada apa yang disifatkan sebagai tuntutan palsu dalam “penipuan Sulu”. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Malaysia mencatat kemenangan besar di peringkat antarabangsa selepas Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya ‘final award’ berjumlah AS$14.9 bilion (RM61.38 bilion) yang sebelum ini diberikan kepada kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan pihak berkenaan membayar kos prosiding sebanyak €200,000 (RM957,140) kepada Malaysia.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, berdasarkan penghakiman yang diperoleh Putrajaya, keputusan itu dibuat kerana arbitrator Sepanyol, Gonzalo Stampa, tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan ‘final award’ tersebut pada 28 Februari 2022 memandangkan tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia.

“Malaysia percaya kemenangan ini akan menamatkan semua cubaan tidak berasas daripada pihak yang mendakwa sebagai waris Sulu serta pembiaya litigasi mereka, Therium, untuk memeras wang dan aset milik rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, Malaysia tetap bersedia untuk meneruskan perjuangan di mana-mana mahkamah jika mereka masih meneruskan tuntutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azalina menegaskan bahawa Putrajaya kekal komited mempertahankan kedaulatan, kekebalan dan kepentingan negara daripada apa yang disifatkan sebagai tuntutan palsu dalam “penipuan Sulu”.

Keputusan Mahkamah Rayuan Paris ini turut melengkapkan rangkaian kemenangan yang dicapai Malaysia sebelum ini dalam beberapa prosiding berkaitan.

Tuntutan terhadap Malaysia bermula apabila lapan individu warga Filipina yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu memfailkan proses timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion dolar berkaitan isu Sabah.

Pada Mac 2019, mahkamah di Madrid melantik Stampa sebagai arbitrator, dan dia meneruskan prosiding sebelum mengeluarkan ‘final award’ bernilai AS$14.9 bilion walaupun pelantikannya telah dibatalkan oleh mahkamah Sepanyol.






#Azalina Othman Said #tuntutan Sulu #keputusan mahkamah paris #penipuan sulu