MALAYSIA

Mahkamah Persekutuan benar ikat jamin dua tahanan SOSMA

Bernama 03/07/2025 | 10:30 MYT
Mahkamah mengenakan syarat untuk kedua-dua lelaki itu memakai alat pemantauan elektronik dan berada dalam pekarangan rumah masing-masing. - Gambar hiasan/Bernama
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan ikat jamin RM50,000 seorang ke atas dua ahli perniagaan yang didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang sementara menunggu keputusan perbicaraan mereka.


Ringkasan AI
  • : Mahkamah Persekutuan membenarkan ikat jamin RM50,000 kepada dua ahli perniagaan yang didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang, dengan syarat pemantauan elektronik dan had pergerakan rumah, susulan keadaan kesihatan mereka yang memerlukan rawatan khas.
  • S Hemanathan dan N Nithiyan masing-masing menghidap penyakit kronik seperti jantung, diabetes dan hipertensi; mahkamah menerima hujah bahawa sistem penjara tidak dapat menyediakan rawatan konsisten yang diperlukan.
  • Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan dibaca bersama Akta SOSMA kerana disyaki terlibat dengan -Geng TR- antara 2019 hingga 2024; perbicaraan dijadualkan Oktober 2026.


Mahkamah turut mengenakan syarat untuk kedua-dua lelaki itu memakai alat pemantauan elektronik dan berada dalam pekarangan rumah masing-masing.

Keputusan dengan majoriti 2-1 itu diputuskan oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan.

Beliau berkata majoriti berpendapat bahawa S Hemanathan, 31, dan N Nithiyan, 39, telah meyakinkan mahkamah (untuk membenarkan ikat jamin) terutamanya susulan keadaan kesihatan mereka serta ketidakupayaan sistem penjara untuk menjaga banduan yang memerlukan rawatan perubatan khas.

"Mereka dilarang keluar dari rumah kediaman mereka tanpa kebenaran sewajarnya daripada polis dan mesti melaporkan diri kepada balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali. Selain itu, mereka juga boleh pergi ke hospital untuk rawatan keadaan kesihatan mereka dengan kebenaran polis, yang tidak sepatutnya ditahan secara tidak wajar," katanya.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah menyokong keputusan majoriti manakala Hakim Abu Bakar Jais tidak bersetuju.

Terdahulu, peguam bela Datuk Rajpal Singh menggesa mahkamah membenarkan ikat jamin atas alasan perubatan.

Beliau berkata Nithiyan menghidap penyakit jantung iskemik, hipertensi dan dislipidemia yang boleh membawa kepada kegagalan kardiovaskular yang mengancam nyawa tanpa rawatan konsisten manakala Hemanathan, yang menggunakan kerusi roda, menghidap diabetes, darah tinggi, dislipidemia dan kolesterol tinggi serta tidak menerima rawatan konsisten di penjara.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee berhujah bahawa kedua-dua lelaki itu telah menerima rawatan yang diperlukan dan keadaan kesihatan mereka terkawal.

Hemanathan dan Nithiyan didakwa di Mahkamah Sesyen pada Mei tahun lepas kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang "Geng TR" di Restoran Makanan Laut Sungai Janggut di Jalan Bagan Sungai Janggut, Jeram, Selangor antara November 2019 dan Mei 2024.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan dibaca bersama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA).

Kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada Ogos tahun lepas dan perbicaraan dijadualkan Oktober tahun depan.

-- BERNAMA




#tahanan SOSMA #Mahkamah Persekutuan #menganggotai kumpulan jenayah terancang #Geng TR