[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
MALAYSIA

Mahkamah Persekutuan benarkan rayuan SIS Forum cabar fatwa 'sesat'

Bernama 19/06/2025 | 01:45 MYT
Panel hakim memutuskan bahawa frasa "menganuti agama Islam" hanya merujuk kepada individu, bukan organisasi atau institusi. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan pertubuhan SIS Forum (Malaysia) dan pengasas bersamanya Zainah Mahfoozah Anwar, dalam tindakan undang-undang mereka mencabar fatwa dikeluarkan pada 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan SIS Forum dan Zainah Anwar, mengetepikan fatwa 2014 yang mengisytiharkan mereka menyeleweng, kerana fatwa tidak terpakai kepada entiti seperti syarikat.
  • Panel hakim memutuskan bahawa frasa "menganuti agama Islam" hanya merujuk kepada individu, bukan organisasi atau institusi, berdasarkan tafsiran dalam Perlembagaan Persekutuan.
  • Keputusan ini menolak pemakaian fatwa ke atas agensi dan syarikat, memberi kemenangan undang-undang kepada SIS selepas gagal dalam Mahkamah Tinggi dan Rayuan sebelum ini.

Panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 3-1 megetepikan fatwa berkenaan, sejauh mana ia terpakai kepada syarikat dan institusi.
Lain-lain hakim dalam panel itu adalah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, dan hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Hakim Abu Bakar mengambil keputusan tidak menyetujui majoriti.
Rayuan itu pada mulanya didengar oleh panel lima hakim, namun Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil telah bersara.
Penghakiman hari ini disampaikan mengikut Seksyen 78(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, yang membenarkan hakim yang tinggal untuk menyampaikan penghakiman.
Dalam menyampaikan penghakiman majoriti, Ketua Hakim Negara berpendapat bahawa ungkapan "menganuti agama Islam" yang dinyatakan dalam Butiran 1, Senarai II, Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, hanya merujuk kepada 'orang sebenar' (natural persons) dan bukan kepada entiti 'buatan/tiruan' (artificial) seperti sebuah syarikat.
"Kami membenarkan rayuan perayu-perayu (SIS Forum dan Zainah) setakat mana ia berkait dengan pemakaian fatwa tersebut kepada pertubuhan dan institusi, dan setakat mana fatwa tersebut menyentuh agensi dan kuasa agensi Persekutuan," katanya.
Beliau berkata sesebuah syarikat, sebagai 'orang buatan atau ciptaan' tiada kapasiti untuk bertaubat sepertimana yang dicadangkan oleh fatwa tersebut.
Tengku Maimun berkata adalah dapatan mahkamah bahawa sesebuah syarikat tidak boleh menganut agama Islam untuk ia diklasifikasikan secara sah sebagai "orang-orang yang menganut agama Islam" dalam Butiran 1, Senarai II, Senarai Negeri, jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau bagaimanapun berkata mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut, adalah kekal terikat dengan fatwa tersebut.
Tengku Maimun berkata tidak timbul soal sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi tidak patut dibiarkan tanpa bertanggungjawab atas perbuatan-perbuatan yang melanggar fatwa tersebut.
"Kebertanggungjawaban atas apa-apa pelanggaran fatwa tersebut adalah sedia terletak di bahu individu-individu yang menggerakkan syarikat, pertubuhan atau institusi tersebut," kata Tengku Maimun.
Beliau bagaimanapun berkata fatwa tersebut adalah sah setakat mana ia merujuk kepada mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalism dan pluralism agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Hakim Tengku Maimun berkata fatwa tersebut juga adalah sah setakat mana ia merujuk kepada mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalism dan pluralism agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.
"Supaya kami tidak disalah faham, kami mengulangi bahawa kami tidak membuat apa-apa komen mahupun menyatakan apa-apa pendapat tentang isi kandungan fatwa kerana ia adalah perkara dalam bidang kuasa eksklusif responden," katanya.
Rayuan di hadapan kami hanya berkenaan had-had kuasa responden-responden untuk menggubal fatwa tersebut dari segi pemakaiannya dalam lingkungan had yang ditetapkan oleh Butiran 1, Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu Hakim Abu Bakar dalam keputusannya yang tidak bersetuju dengan majoriti berkata Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan betul, bahawa hanya Mahkamah Syariah akan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan cabaran terhadap fatwa.
"Fatwa dalam keadaan ini secara ringkasnya, adalah perkara untuk orang Islam sahaja, dan permohonan ini adalah untuk masyarakat Islam. Mahkamah Syariah sepatutnya menjadi forum terbaik dan sesuai, dan bukannya Mahkamah Sivil untuk memutuskan kesahihan sesuatu fatwa," katanya.
Beliau berkata syarikat mungkin masih tertakluk kepada fatwa, terutamanya dalam kes komposisi atau aktivitinya berkait rapat dengan perkara berkaitan Islam.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengeluarkan fatwa itu pada 17 Julai 2014, dan ia kemudiannya diwartakan oleh kerajaan Selangor pada 31 Julai 2014. Fatwa itu mengisytiharkan bahawa Forum SIS, bersama mana-mana individu atau kumpulan yang menganut fahaman sesat liberalisme dan pluralisme agama, telah menyeleweng daripada ajaran Islam.
Fatwa itu juga mengarahkan supaya mana-mana penerbitan yang mempromosikan tafsiran liberal atau pluralis Islam, diharamkan dan dirampas, dan seterusnya mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menapis platform dalam talian yang bercanggah dengan ajaran Islam dan hukum syarak.
SIS Forum telah memfailkan semakan kehakiman terhadap Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan Selangor, dengan tujuan membatalkan fatwa 2014, yang mengisytiharkan organisasi itu menyeleweng atas alasan ia didakwa menganut fahaman "liberalisme" dan "pluralisme agama."
Pertubuhan berkenaan sebelum ini gagal dalam cabaran undang-undangnya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan antara 2019 dan 2023.
Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan A Surendra Ananth mewakili Forum SIS dan Zainah, manakala Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Jawatankuasa Fatwa Selangor.
Peguam Yusfarizal Yussoff mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dan penasihat undang-undang Selangor Datuk Salim Soib @ Hamid mewakili kerajaan Selangor.
-- BERNAMA
#SIS Forum #Mahkamah Persekutuan #Zainah Mahfoozah Anwar #fatwa #Ketua Hakim Negara #terkini