PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 13 Okt ini untuk mendengar rayuan seorang wanita berusia 37 tahun untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan status agamanya sebagai seorang Islam.

Peguam A. Surendra Ananth yang mewakili wanita itu, mengesahkan kepada Bernama tarikh pendengaran rayuan tersebut susulan pengurusan kes yang diadakan pada Isnin lepas.

Pada 22 Mei tahun ini, wanita itu mendapat kebenaran untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan atas enam soalan perundangan.

Pada 13 Jan lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengembalikan status agama wanita itu sebagai seorang muslim.

Pada 21 Dis 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman wanita itu dan mengisytiharkan beliau sebagai bukan Islam.

Dalam saman pemulanya, wanita itu yang semasa dilahirkan pada 1986, berbapa seorang penganut agama Hindu dan ibu yang penganut Buddha, memohon perisytiharan bahawa dia bukan seorang yang menganut agama Islam.

Dia berkata, ibunya memeluk Islam pada 1991 dan secara unilateral telah mengislamkannya, yang ketika itu berusia lima tahun di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Penukaran agama itu berlaku semasa ibu bapanya dalam proses perceraian, yang kemudian dimuktamadkan pada 1992.

Pada tahun berikutnya (1993) ibunya berkahwin dengan seorang lelaki Islam manakala bapanya meninggal dunia dalam kemalangan tiga tahun kemudian.

Wanita itu mendakwa walaupun memeluk Islam, ibu dan bapa tirinya membenarkan dia terus mengamalkan kepercayaan Hindu, agama yang dianuti sejak dilahirkan. Dia mendakwa tidak mengamalkan ajaran Islam.

Pada 12 Dis 2013, wanita itu telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia tidak lagi beragama Islam.

Bagaimanapun, pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak samannya dan Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017, menyebabkan dia memfailkan sama di Mahkamah Tinggi sivil.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti mendapati Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah telah memutuskan bahawa wanita itu masih beragama Islam dan oleh itu ia adalah kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah

-- BERNAMA