MALAYSIA
Mahkamah Persekutuan kekal hukuman penjara, sebatan keldai dadah

Panel tiga hakim menolak rayuan Loh terhadap sabitan dan hukuman, menyatakan bahawa pembelaan tidak mencukupi untuk menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan ke atas seorang lelaki yang disabitkan dengan kesalahan mengedar 755.4 gram dadah jenis metamfetamina.
Ringkasan AI
- Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap Loh Fung Nian atas kesalahan mengedar 755.4 gram dadah jenis metamfetamina di KLIA2 pada 15 Mei 2019.
- Panel tiga hakim menolak rayuan Loh terhadap sabitan dan hukuman, menyatakan bahawa pembelaan tidak mencukupi untuk menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
- Loh sebelum ini dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, namun hukuman ditukar kepada penjara dan sebatan oleh Mahkamah Rayuan; beliau mendakwa tidak mengetahui kandungan paket yang dibawanya adalah dadah.
"Kami dapati sabitan adalah selamat. Sabitan dan hukuman dikekalkan," katanya.
Loh, 36, pada asalnya dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Nov 2021 selepas didapati bersalah mengedar dadah di kawasan pelepasan antarabangsa, tingkat 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang, Selangor pada 12.27 malam pada 15 Mei 2019.
Pada 2 Mei tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Loh terhadap sabitan namun membenarkan rayuannya untuk menggantikan hukuman mati dengan pemenjaraan selama 30 tahun dengan 12 sebatan yang berkuat kuasa daripada tarikh dia ditangkap iaitu pada 15 Mei 2019.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, seorang anggota polis yang bertugas melakukan pemeriksaan badan menemukan bonjolan pada kedua-dua paha Loh di hadapan ruang pelepasan Pintu Q KLIA2, menyebabkan pihak berkuasa membawanya ke sebuah bilik untuk pemeriksaan lanjut.
Loh telah diminta menanggalkan seluarnya yang menyebabkan pihak berkuasa menemukan beberapa paket plastik dilekatkan pada bahagian paha manakala satu lagi di dalam seluar dalam.
Kesemua paket mengandungi bahan yang disyaki dadah jenis metamfetamnia dan tertuduh telah ditahan.
Loh, dalam pembelaannya mendakwa dia hanyalah pembawa yang tidak mengetahui kandungan paket terbabit adalah dadah.
Tertuduh mendakwa berkawan dengan seorang lelaki bernama Jeff, yang mempelawanya bekerja di Korea dan memperkenal seorang ejen iaitu Kent, yang menawarkan kerja kilang untuk mereka.
Loh mendakwa Kent dan seorang lagi lelaki tidak dikenali kemudian memintanya untuk menghantar bungkusan terbabit kepada ejen lain serta memberi jaminan bahawa kandungan bungkusan itu bukan barang terlarang.
Dia mendakwa diarah menyembunyikan barang itu untuk mengelak daripada membayar cukai.
Pada prosiding hari ini, Loh diwakili peguam Muhammad Hafizuddin Salehuddin manakala Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim dan Tetralina Ahmed Fauzi bagi pihak pendakwaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami