PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 Sept ini sebagai tarikh bagi pengurusan kes permohonan kebenaran merayu yang difailkan oleh Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam ibu warga Malaysia terhadap satu keputusan Mahkamah Rayuan.

Ia berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos lepas yang memutuskan bahawa kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

Salah seorang peguam mereka Abraham Au ketika dihubungi mengesahkan bahawa mereka telah dimaklumkan oleh mahkamah hari ini berhubung pengurusan kes berkenaan, yang akan diadakan secara dalam talian.

Jumaat lepas Family Frontier serta enam ibu berkenaan menfailkan permohonan bagi merayu untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos lepas yang membenarkan rayuan kerajaan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, memperoleh kerakyatan mengikut undang-undang.

Dalam notis usul, mereka menyatakan hasrat untuk membangkitkan empat soalan berkaitan isu perlembagaan untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, sekiranya kebenaran diberikan bagi mereka meneruskan rayuan.

Dalam kes sivil, pihak yang berhasrat merayu perlu membuat permohonan terlebih dahulu sebelum mereka boleh meneruskan dengan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Menurut notis usul, Family Frontiers dan enam ibu itu berkata keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai soalan yang dibangkitkan adalah perlu, untuk menjelaskan isu undang-undang, bagi memastikan keputusan oleh mahkamah dibuat bukan dengan sewenang-wenangnya, dan bersifat konsisten.

Family Frontiers dan enam wanita yang berkahwin dengan warga asing memohon perintah mahkamah terhadap semua agensi kerajaan yang berkaitan, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia, untuk mengeluarkan dokumen berkaitan kewarganegaraan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang bersuamikan warga asing.

-- BERNAMA