PUTRAJAYA: Sekumpulan penduduk Orang Asli dari Kampung Kelaik, Gua Musang, Kelantan hari ini gagal memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan perintah injunksi interlokutari untuk menghalang 14 entiti termasuk Kerajaan Negeri Kelantan menjalankan kerja-kerja di tanah pusaka milik nenek moyang mereka.

Penduduk kampung terbabit ingin mendapatkan perintah injunksi interlokutari sementara menunggu pelupusan saman mereka di Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim menolak permohonan itu tanpa kos.

Beliau berkata penduduk terbabit gagal memenuhi keperluan ambang di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan bahawa tiada persoalan undang-undang membabitkan kepentingan umum yang belum pernah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian, peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal yang mewakili penduduk membangkitkan tujuh persoalan undang-undang yang didakwa beliau harus diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana membabitkan isu baharu yang belum pernah diputuskan oleh mahkamah itu.

Ahak Uda, Aziz Angah dan Anjang Uda memfailkan saman itu bagi pihak diri mereka dan penduduk Kampung Kelaik di Mahkamah Tinggi Kota Bahru untuk memohon pengisytiharan bahawa mereka adalah pemilik sah tanah pusaka terbabit.

Mereka menamakan Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd, Redstar Capital Sdn Bhd, Aqua Orion Sdn Bhd, Damai Corporate Services Sdn Bhd, Sindiyan Sdn Bhd dan Sindiyan Agro Park Sdn Bhd sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Ladang Kelantan Sdn Bhd, Ikrar Bumi Sdn Bhd, Ladang Ulu Nenggiri Sdn Bhd, Iliasco Engineering & Construction Sdn Bhd, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Jabatan Perhutanan Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Kerajaan Kelantan.

Pernyataan tuntutan mereka mendakwa defendan telah menceroboh tanah pusaka mereka untuk menjalankan aktiviti perlombongan, pembalakan serta penanaman kelapa sawit dan pokok getah yang menjejaskan kehidupan seharian penduduk kawasan sekitar.

Pada 18 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kota Bahru membenarkan perintah injunksi interlokutari secara ex-parte kepada penduduk terbabit namun permohonan mereka untuk memperoleh injunksi interlokutari secara inter-parte telah ditolak pada 20 Ogos tahun sama.

Mereka turut gagal di peringkat Mahkamah Rayuan yang memutuskan pada 21 April lepas bahawa tiada injunksi sama ada interlokutari atau kekal boleh diberikan terhadap kerajaan di bawah Seksyen 29 Akta Prosiding Kerajaan 1956 dan Seksyen 54 Akta Relief Khusus 1950.

Saman itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 14 Dis di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

-- BERNAMA